ALOR SETAR 30 Ogos – Lima jawatan utama Pas – Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden, dimenangi tanpa bertanding menjelang pemilihan pada muktamar parti yang akan berlangsung di Kota Sarang Semut dekat sini bulan depan.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, ketika mengumumkan perkara itu turut mengesahkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, menolak pencalonan kali ketiga untuk merebut jawatan Naib Presiden.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, Muhammad Sanusi kekal bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat bagi penggal 2025-2027, selain terus memainkan peranan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas.
Susulan itu, jawatan Presiden kekal disandang Abdul Hadi Awang, Timbalan, Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala tiga Naib Presiden ialah Idris Ahmad, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan Muhammad Sanusi itu tidak pelik kerana ahli parti berkenaan dididik bahawa jawatan adalah tanggungjawab dan bukan kemegahan.
“Perebutan dalam Pas ialah tidak mahu memegang jawatan. Kalau boleh, ramai tidak mahu memegang jawatan sebab dalam Pas, kita diajar dan memahami bahawa jawatan adalah tanggungjawab, bukan yang boleh direbut serta menjadi kemegahan.
“Tanpa apa-apa tekanan, beliau memutuskan untuk tidak menerima pencalonan kali ini. Mungkin masanya akan tiba (Muhammad Sanusi terima), namun beliau kekal bertanding jawatan AJK Pas Pusat.
Beliau juga mempunyai peranan penting sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya. Yang terdekat, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pun beliau akan terbabit dan itu adalah peranan cukup penting,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum itu, Takiyuddin, menghadiri mesyuarat bersama Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Muktamar Pas Pusat dijadualkan berlangsung pada 15 dan 16 September depan membabitkan seramai 4,200 perwakilan dari seluruh negara.
Bagi AJK Pas Pusat, Beliau berkata, seramai 30 calon mengesahkan akan bertanding bagi merebut 18 jawatan AJK pusat.
“Suka saya mengumumkan Pas mengekalkan kedudukan sebagai parti paling stabil apabila secara rasmi, lima jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden serta Naib Presiden tidak akan ada pertandingan.
“Kesemua calon yang mendapat pencalonan mencukupi, menang tanpa bertanding. Sebelum ini, kita tahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ada pertandingan.
“Naib Presiden ada empat pencalonan untuk mengisi tiga jawatan tetapi selepas tarikh tutup penerimaan pencalonan, hanya tiga mengesahkan. Justeru, suka saya mengumumkan tiga Naib Presiden kekal,” katanya.
Nnnn
