DAP kini versi baharu MCA?

SEPANG 25 Ogos – Kenyataan angkuh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bahawa parti itu boleh berfungsi tanpa MCA menggambarkan DAP kini sudah menjadi MCA versi baharu atau MCA 2.0.

Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker berkata, kenyataan seumpama itu merupakan kali keempat Loke menghina MCA secara terbuka.

Sebelum ini, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban pernah berkata beliau ‘tidak suka MCA’, pernah menyindir ‘tidak peduli dengan MCA’ dan juga menyindir MCA dengan kata-kata ‘jangan perasan’.

“Namun, ironinya, dalam setiap kenyataan angkuh Anthony (Loke) terhadap MCA, beliau sebenarnya tidak sedar bahawa DAP sendiri sudah berubah menjadi MCA 2.0,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Semalam di Ipoh Menteri Pengangkutan itu berkata, DAP tidak pernah berhasrat mahu menjalin kerjasama politik dengan MCA seperti yang didakwa oleh sebahagian pemimpin parti berkenaan.

Katanya, kenyataan-kenyataan MCA yang menolak kerjasama dengan DAP adalah tidak berasas kerana DAP sendiri tidak pernah menyatakan hasrat sedemikian.

“Setiap hari MCA keluarkan kenyataan kata tak mahu bekerjasama dengan DAP. Saya nak tegaskan, kita pun tak pernah cakap nak bekerjasama dengan mereka.

“Jadi janganlah perasan sangat kononnya DAP ini mahu sangat kerjasama dengan MCA. Janganlah berfikir seolah-olah DAP tidak boleh hidup tanpa mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Jamuan Makan Malam DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh.

Sementara itu, Lian Ker berkata, selama puluhan tahun, DAP mengejek MCA sebagai lemah, tunduk kepada UMNO dan tidak berani bersuara dalam kerajaan BN serta menjanjikan diri mereka berbeza, parti yang berani, lantang dan kononnya tidak tunduk kepada sesiapa.

“Tetapi hari ini, apa yang kita saksikan? Pilihan raya kerajaan tempatan dibekukan, pengiktirafan UEC, hilang entah ke mana. Janji reformasi institusi? Senyap sunyi.

“Lebih teruk, dalam isu-isu besar yang melibatkan rakan gabungan mereka, DAP memilih untuk berdiam diri. Jika MCA dahulu dikatakan tunduk kepada UMNO, maka DAP hari ini tunduk lebih rendah daripada itu,” katanya.

Paling menyedihkan, DAP telah mengkhianati salah satu janji paling asas yang menjadi asas perjuangan mereka iaitu keadilan untuk Teoh Beng Hock yang meninggal dunia dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009, menjadi simbol perjuangan menentang penindasan.

“DAP pernah berjanji untuk menuntut keadilan bagi keluarganya. Lim Kit Siang sendiri pernah meminta maaf secara terbuka kepada keluarga Beng Hock kerana kegagalan menunaikan janji ini.

“Persoalannya di mana Anthony ketika itu? Adakah permohonan maaf Kit Siang itu satu sindiran halus bahawa kepimpinan baharu DAP, khususnya Anthony (Loke) , telah gagal mengangkat perjuangan asas parti itu sendiri?” soal beliau.

Katanya, Kit Siang dan Karpal Singh pernah dihormati kerana keberanian mereka berpegang pada prinsip.

Ujar beliau, mereka mungkin tidak sempurna, tetapi suara mereka mewakili idealisme dan integriti.

“Anthony? (Loke) Beliau jauh sekali daripada aura dan prinsip Lim Kit Siang atau Karpal Singh. Jika mahu dibandingkan, beliau sebenarnya lebih mirip kepada Ling Liong Sik, bekas Presiden MCA yang sinonim dengan kompromi politik.

“Ironinya, Ling Liong Sik masih kelihatan lebih baik kerana sekurang-kurangnya beliau konsisten dengan pendiriannya, sedangkan Loke tampil dengan keangkuhan tetapi gagal menzahirkan keberanian politik yang dijanjikan DAP.

“Maka, apabila Anthony cuba menonjolkan diri sebagai pemimpin lantang dengan menghina MCA, beliau sebenarnya sedang menelanjangkan kelemahan sendiri. DAP di bawah pimpinannya sudah tidak lagi berani, tidak lagi lantang, dan sudah menjadi bayangan MCA 2.0,” katanya.

Menurut Lian Ker, DAP suatu masa dahulu melaungkan ‘ubah’ dan ‘lawan tetap lawan’, tetapi hari ini, di bawah kepimpinan Loke, laungan itu bertukar menjadi ‘kowtow’ politik.

Ujarnya,mereka yang suatu ketika dahulu melaungkan idealisme kini tunduk demi kuasa, yang menjanjikan demokrasi tempatan kini menangguhkan janji itu, ikrar untuk keadilan Beng Hock kini sejarah pahit yang tidak lagi disebut.

“Ironinya, MCA walaupun kecil dan dianggap tidak relevan, konsisten dengan pendiriannya. DAP yang dahulu melaungkan diri sebagai pembawa harapan, kini berubah menjadi MCA versi baharu, tetapi dengan lebih keangkuhan dan lebih banyak kegagalan,” katanya.

Justeru Lian Ker mengingatkan Loke supaya berhati-hati dengan kata-katanya.

“Masyarakat Cina bukan menunggu untuk mendengar hinaan terhadap MCA. Mereka menunggu untuk melihat DAP benar-benar berfungsi lebih baik daripada MCA. Sayangnya, di bawah kepimpinan Anthony Loke, apa yang mereka dapat hanyalah MCA 2.0 dengan retorik kosong,” katanya.

Related posts

Leave a Comment