PUTRAJAYA 25 Ogos – Sebuah jawatankuasa khas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan diwujudkan bagi mengkaji draf Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025, yang kali pertama dibaca di Dewan rakyat, hari ini.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata jawatankuasa itu akan membabitkan pihak persatuan, ahli akademik, aktivis dan pihak berkepentingan lain dalam ekonomi gig.
Menyifatkan rang undang-undang itu bagi membela pekerja gig sebagai langkah kehadapan,
MTUC berpandangan keperluan mewujudkan akta itu amat penting bagi memenuhi kehendak mereka namun kewujudan draf RUU pekerja itu juga agak pelik berbanding RUU yang dirangka sebelum ini.
Menjadi amalan kepada pihak kementerian menjemput dan mendapatkan input daripada MTUC bila mana draf RUU dibuat. Perbincangan yang teliti akan dibuat oleh MTUC bagi membuat draf RUU sebelum dibentang di Parlimen.
“MTUC menghantar jemputan pada KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) untuk membentangkan cadangan RUU Pekerja Gig pada 1 Disember 2024 bersama dengan MTUC, Majlis Peguam, SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia), pekerja gig.
“Tanpa pembabitan MTUC sebagai pusat buruh kebangsaan yang cakna kepada kepentingan pekerja maka sewajarnya RUU ini diperhalusi secara serius,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kamarul Bahrin berkata, MTUC juga berpandangan, permintaan Persatuan PERHANTAR supaya Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGiM) ditubuhkan untuk menjaga ekosistem gig adalah bersesuaian.
Beliau berkata, cadangan mereka berasaskan kepada kegusaran sama ada Jabatan Tenga Kerja (JTK) mempunyai kemampuan pegawai bagi menguatkuasakan undang undang ini atau sebaliknya.
Sehubungan itu, MTUC katanya, akan merujuk kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung RUU itu supaya ia selaras dengan amalan antarabangsa bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam industri gig.
“Isu membabitkan industri gig adalah unik di mana ia membabitkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.
Nnnn
