KUALA LUMPUR 24 Ogos – Petronas Gas Bhd (PGB) mengesahkan semua infrastruktur dan fasiliti paip gas syarikat kekal selamat serta beroperasi seperti biasa susulan gegaran kecil yang berlaku berhampiran Segamat, Johor, pagi ini.
Menurut PGB, sebaik menerima makluman mengenai gegaran itu, pasukan teknikal dan serantau syarikat segera melaksanakan prosedur keselamatan standard yang telah disediakan untuk sebarang kejadian seumpamanya di Wilayah Selatan.
“Pemeriksaan dijalankan di Stesen Pemampat Segamat, Stesen Kawalan Segamat serta sepanjang jajaran paip berkenaan. Hasil semakan mendapati tiada sebarang ketidaknormalan atau gangguan operasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya pemantauan secara langsung melalui sistem SCADA turut mengesahkan tahap tekanan dan parameter operasi berada dalam keadaan stabil.
PGB menegaskan pihaknya terus menjalinkan komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini.
“Kami akan terus mengutamakan keselamatan orang ramai dan operasi syarikat menerusi pemantauan rapi serta sentiasa bersiap siaga untuk bertindak jika keadaan berubah,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan satu gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 kilometer (km) berlaku di Segamat Johor pada pukul 6.13 pagi hari ini.
Lokasi kejadian kira-kira lima kilometer barat Segamat, dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
Kejadian ini turut dikesan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia.
Gempa bumi susulan bermagnitud 2.8 direkodkan pukul 9 pagi di kawasan Yong Peng, Johor iaitu kira-kira 28km barat laut Kluang, Johor.
