Malaysia umum RM100 juta untuk Gaza

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Malaysia mengumumkan dana bantuan berjumlah RM100 juta untuk Gaza, jumlah yang sama seperti peruntukan yang diluluskan dua tahun lalu.

Ketika mengumumkan demikian, Perdana Menteri Anwar Ibrahim Anwar juga menyeru syarikat-syarikat swasta untuk turut prihatin terhadap kesengsaraan yang dialami oleh warga Palestin.

“Saya akan minta rakan-rakan dari syarikat negara kita untuk terus membantu. Mereka telah bantu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Malam Himpunan dan Selawat: Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, malam ini.

Sementara itu, di hadapan ribuan pengunjung yang hadir, Anwar turut menyifatkan tindakan rejim Zionis Israel sama seperti haiwan.

Beliau juga menyelar sikap Perdana Menteri Israel yang dianggapnya kurang siuman apabila dengan mudah menuduh warga Gaza terlibat dengan aktiviti Hamas.

“Ini bukan manusia ini haiwan, orang lapar mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tak boleh masuk, orang sakit perlu ubat. (Tetapi) Ubatnya dipagar, tidak boleh masuk, manusia paling teruk pun tidak sebegini.

“Nentanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman, zalim pun sanggup dipertahankan, anak-anak kecil pun (dituduh) Hamas,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru kepada kesatuan masyarakat dalam mendepani isu Gaza agar dapat menghulurkan bantuan dan menghentikan kesengsaraan warganya.

“Jangan tanam bibit-bibit kebencian dan perpecahan di kalangan kita. Bina kekuatan baru, kepada anak-anak muda saya pesan bangkit jaga negara ini biar benar merdeka, biar naik martabat, harakat bangsa negara, baru boleh bantu yang lain,” katanya lagi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment