PONTIAN 21 Ogos – Pemasangan bendera terbalik di sebuah klinik swasta di Pusat Perdagangan Pontian sudah dibetulkan dengan pemantauan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dan pihak polis.
Menurut satu kenyataan MPPn, susulan insiden itu, empat individu termasuk tiga wanita telah dibawa ke Ibu pejabat polis (IPD) Pontian oleh pihak PDRM untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, pihak MPPn telah menerima laporan pemasangan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik di klinik berkenaan dan susulan itu, dua orang anggota penguat kuasa telah ke lokasi kejadian.
Hasil semakan langsung, pihak MPPn mendapati kesalahan pemasangan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik telah berlaku dengan menggantung pada tingkap Aras 2 bahagian dalam premis berkenaan.
Disebabkan premis itu sudah ditutup ketika penguat kuasa tiba, pihak MPPn dan PDRM telah menghubungi pekerja premis untuk datang ke lokasi.
“Wakil pekerja hadir ke lokasi dan tindakan pembetulan dilaksanakan serta-merta oleh pekerja yang sama memasang bendera Malaysia dalam keadaan terbalik dengan arahan serta pemantauan bersama MPPn dan PDRM,” kata kenyataan itu.
Pihak premis telah melakukan kesalahan di bawah UUK 45, Pengibaran Bendera, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian (MDP) 2019.
Terdahulu tular di media sosial sebuah video berdurasi 33 saat memaparkan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di daerah ini.
Rakaman berkenaan menunjukkan bangunan kedai tiga tingkat yang menempatkan klinik tersebut dengan bendera Malaysia digantung secara terbalik di tingkat dua.
Bendera terbalik itu dilihat bersebelahan dengan bendera Johor yang dipasang dengan betul.
Nnnnn
