PONTIAN 21 Ogos – Polis membuka kertas siasatan susulan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian semalam, yang kesnya turut tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Abdul Rahaman, berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian pekerja klinik dan mereka tidak ada sebarang niat untuk menghina simbol Kebangsaan berkenaan.
“Pemilik premis telah tampil memberikan kerjasama sepenuhnya dan tindakan segera diambil bagi membetulkan kedudukan bendera.
“Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara yang wajib dihormati oleh setiap lapisan masyarakat, sehubungan itu, semua pihak diingatkan supaya memastikan pemasangan bendera dilakukan dengan betul setiap masa dan khususnya sempena sambutan bulan kemerdekaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan mengganggu ketenteraman awam.
“Orang ramai juga diingatkan supaya memastikan pemasangan bendera dilakukan dengan betul setiap masa,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di talian 07-6871222 atau balai polis berhampiran.
Semalam, media melaporkan insiden lagi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik dikesan di sebuah klinik pergigian swasta di percayai berlaku di Pontian.
Insiden yang tular menerusi video berdurasi 33 saat memaparkan bangunan kedai tiga tingkat yang menempatkan klinik pergigian itu, di mana bendera Malaysia dipasang secara terbalik ditingkat dua.
Nnnn
Foto : MPPn
