Tidak ada cubaan tutup kes Zara Qairina

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, tiada sebarang cubaan penutupan kes atau cover-up sepanjang proses siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata segala tindakan dan siasatan yang diambil berdasarkan fakta, laporan dan permohonan yang sah.

Saifuddin Nasution berkata tuduhan mengatakan bahawa kes berkenaan cuba ditutup dan dimanipulasi adalah tuduhan sangat berat yang tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa daripada awal hingga kini.

“Dari awal hinggalah proses bedah siasat dibuat dan siasatan lanjutan, tiada sebarang cubaan penutupan kes atau cover up oleh mana-mana pihak berkuasa. Komitmen kepada keadilan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang.

Kes ini ialah satu perkara yang sangat berat, sangat serius melibatkan kehilangan nyawa adik Zara Qairina yang berumur 13 tahun … kita mesti lakukan siasatan secara profesional dan telus, bukti yang sahih mengikut peruntukan lunas undang-undang,” katanya pada sesi penerangan menteri, hari ini.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada 4 pagi, 16 Julai.

Saifuddin Nasution berkata badan penguatkuasaan tidak ‘menunggang’ kes berkenaan untuk melindungi siapa yang berpangkat, mempunyai gelaran dan kedudukan, sebaliknya fokus kepada mencari kebenaran serta keadilan dalam perkara itu.

Beliau berkata siasatan polis menyeluruh dan terperinci terhadap setiap dakwaan yang timbul dalam kes berkenaan termasuk penglibatan cucu kepada orang kenamaan, isteri kepada seorang timbalan menteri serta dakwaan Zara Qairina didera dalam mesin basuh.

“Siasatan polis tidak menemukan semua perkara yang disebut begitu. Tidak ada sama sekali setelah keterangan daripada 195 saksi yang kita ambil, tidak ada sama sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pada hari pertama kejadian, setiap tindakan yang diambil oleh polis, pihak sekolah dan pegawai perubatan berdasarkan maklumat semasa dan tindakan awal dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata isu ketidakpatuhan yang dilakukan oleh pegawai penyiasat polis dalam kes itu tidak sama sekali menjejaskan integriti siasatan, lebih-lebih lagi pasukan dari Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes berkenaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment