Ambil segera vaksin kanak-kanak

PUTRAJAYA 7 Mei – Hanya tinggal lapan hari lagi sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) ditamatkan pada 15 Mei ini dan dos vaksin akan dikenakan bayaran.

Justeru Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyeru ibu bapa supaya mengambil peluang melindungi anak masing-masing daripada wabak Covid-19 dengan membawa anak-anak mereka mengambil suntikan.

Begitu juga bagi perlindungan Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem dalam Kanak-Kanak (MIS-C) dan komplikasi lain akibat jangkitan.

“Lebih 1.5 juta kanak-kanak sudah dicucuk di Malaysia. Terbukti selamat!” katanya menerusi hantaran di akaun Twitter hari ini.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, sebanyak 1,542,513 kanak-kanak atau 43.4 peratus daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata bayaran akan dikenakan bagi suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak selepas PICKids ditamatkan pada 15 Mei ini.

Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) sebelum ini mengumumkan pemberian dos pertama di bawah PICKids hanya akan diberikan hingga 15 Mei dan tidak lagi ditawarkan selepas tarikh akhir berkenaan memandangkan permintaan rendah vaksinasi boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

Selepas tarikh itu, vaksin yang diberikan adalah secara berbayar dan jenis yang diberikan ialah Sinovac.

Program PICKids tidak dapat dipanjangkan kerana melibatkan tarikh luput vaksin, penghantaran daripada pengeluar selain terdapat usaha memperoleh lebih banyak ubat antiviral.

Related posts

Leave a Comment