Inkues Zara Qairina mula 3 September

KOTA KINABALU 18 Ogos – Mahkamah Koroner menetapkan pendengaran inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir bermula pada 3 September depan dengan 195 deponen atau saksi dikenal pasti.

Koroner Azreena Aziz menetapkan pendengaran pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.

Tarikh itu ditetapkan pada prosiding sebutan inkues yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dari Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pegawai pengendali yang diketuai TPR Mohd Fairus Johari dari AGC Putrajaya.

Beliau dibantu tiga TPR dari AGC Sabah iaitu TPR Dana Arabi Wazani, TPR Afiq Agoes dan TPR Dacia Jane Romanus.

Ketika prosiding, Mohd Fairus memberitahu Mahkamah Koroner jumlah saksi yang dipanggil akan diteliti semula dan senarai baharu akan dimaklumkan kepada Mahkamah Koroner sebelum inkues bermula pada 3 September depan.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara memohon kepada Koroner untuk menjadi interested party atau pihak yang boleh menyoal ketika sesi inkues berlangsung.

Peguam Hamid Ismail ketika ditemui media selepas prosiding hari ini berkata, beliau dibantu lima rakan guamannya termasuk Shahlan Jufri akan memohon perkara itu kepada AGC pada minggu ini.

“Kami telah memohon untuk menjadi pihak yang menyoal bagi membantu pendakwaan tetapi kami diarahkan untuk memohon secara rasmi. Jadi, kami akan memohon pada minggu ini.

“Sabah Law Society pula bertindak sebagai Watching Brief dan buat masa ini status kami juga adalah Watching Brief tetapi apabila permohonan diluluskan, status kami berubah kepada interested party,” katanya.

Mengenai saksi, beliau berkata semua yang disenaraikan oleh polis sebelum ini, termasuk ibu Allahyarham Zara Qairina adalah antara yang dijangka dipanggil pada prosiding inkues nanti.

Katanya, semua yang dipanggil oleh polis dalam siasatan kes kematian Zara sebelum ini, termasuk guru dan pelajar dijangka dipanggil sebagai saksi untuk pendengaran inkues.

“Kami juga memohon agar diberikan semua dokumen yang ada di AGC yang mana akan dijadikan bukti dalam kes ini,” katanya.

AGC sebelum ini memutuskan agar inkues dijalankan bagi menentukan punca dan sebab kematian Allahyarham Zara Qairina.

Menerusi kenyataan jabatan itu pada Rabu lalu, ia menjelaskan inkues berkenaan termasuk untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian pelajar berkenaan.

Keputusan mengadakan inkues dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes itu pada 12 Ogos lalu.
Inkues itu dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Related posts

Leave a Comment