PASIR SALAK 17 Ogos – Imej tercalar tetapi tahap keselamatan negara tidak terjejas walaupun lima perisik tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan kerana disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penahanan anggota Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) itu diharap dapat memberi pengajaran mahal terutama kepada semua pasukan penguatkuasaan supaya tidak terbabit dengan perbuatan sebegitu.
“Ia (keselamatan) tidak akan terjejas, tetapi imej tercalar dan ini mesti dielakkan serta mesti diketahui oleh mereka,” katanya selepas merasmikan Program Santunan Desa Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Dewan Besar FELCRA Changkat Lada, di sini hari ini.
Media melaporkan penahanan lima pegawai perisik tentera daripada MDIO oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan ATM terbabit yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau bersetuju dengan tindakan ke atas lima pegawai itu seperti diumumkan Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, selain kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Mohd Nizam Jaffar bahawa tiada kompromi bagi tindakan terhadap persekongkolan antara pegawai dalam ATM.
“Bukan saja dalam soal menjadi pemberi maklumat, tetapi terbabit secara langsung, dan jika benar perkara itu berlaku, maka ia harus dihentikan kerana ini soal imej pasukan itu (ATM).
“Apatah lagi kita yang berada pada peringkat yang harus menjalankan amanah dengan baik, bukan menggunakan pangkat, jawatan, atau kedudukan dalam sesebuah pasukan pertahanan atau pasukan keselamatan untuk melakukan kerja di luar lunas undang-undang,” katanya.
