UMNO lega keputusan Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR 14 Ogos – UMNO menyambut baik keputusan sebulat suara tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan semakan kehakiman Mohd Najib Razak berkaitan Titah Adendum disegerakan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.

Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha untuk mendapatkan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, UMNO akan terus beriltizam untuk menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan pembelaan buat Najib.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di sini malam tadi.

Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim menolak rayuan Peguam Negara untuk menghalang supaya semakan yang dikemukakan Najib itu didengar…

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Mohd Yusof dan Hanipah Farikullah.

Menerusi keputusan mahkamah tertinggi itu, semakan tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi seperti tarikh-tarikh yang akan ditetapkan.

Hakim Zabariah ketika membacakan keputusan itu berkata, persoalan sama ada Titah Adendum itu wujud atau sah hanya boleh ditentukan pada peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

“Buat masa ini, titah tambahan itu wujud dan statusnya, sama ada sah atau benar, perlu dipastikan dalam perbicaraan penuh.

“Kami tidak menganggap wajar atau adil untuk memberi sebarang pandangan mengenai perkara ini pada peringkat sekarang,” katanya.

Pada 9 Julai lalu, panel berkenaan selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Ia bagi memutuskan sekiranya rayuan Peguam Negara ditolak, semakan itu akan diteruskan di Mahkamah Tinggi.

Namun jika rayuan dibenarkan, hasrat Najib untuk meneruskan semakan kehakiman ini bagi mendapat perintah mandamus supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah akan berakhir.

Related posts

Leave a Comment