KUALA LUMPUR 14 Ogos – UMNO akan menyampaikan nota bantahan kepada semua parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bercadang mahupun telah mengizinkan kemasukan ahli-ahli daripada UMNO ke dalam parti masing-masing.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata protes itu merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti gabungan.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, keputusan itu adalah antara beberapa perkara yang diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi.
Sebelum ini, PKR yang juga salah satu komponen Kerajaan Perpaduan memerima kemasukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz selepas beliau meninggalkan UMNO.
Zafrul pada 30 Mei lalu mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO termasuk Ahli MKT dan Ketua Bahagian UMNO serta menyatakan niat untuk menyertai PKR.
Sementara itu, UMNO amat dukacita dan cukup terhiris dengan kematian Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan 1
Katanya, pengendalian kes ini yang dilihat amat lemah bahkan tidak mematuhi prosedur dan SOP biasa sebagaimana perakuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan.
Bagaimanapun UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk Inkues penuh dijalankan bagi menentukan punca dan sebab kematian termasuk sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.
“Moga-moga proses inkues ini kelak akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat Arwah Zara Qairina,” katanya,
Mengenai bendera, MT UMNO memandang serius kesalahan berulang dalam isu pemasangan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang yang merupakan maruah dan lambang kedaulatan Negara.
“Tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.
Nnn
