Lima kakitangan Al Jazeera terbunuh

BANDARAYA GAZA – Dua wartawan adalah antara lima kakitangan Al Jazeera, yang terbunuh dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan khemah media berhampiran Hospital al-Shifa di Bandaraya Gaza.

Serangan pada sebelah malam itu berlaku pada Ahad dan mencetuskan kecaman meluas terhadap tindakan Israel yang didakwa menyasarkan wartawan secara langsung.

Menurut laporan Al Jazeera, serangan tersebut mengenai khemah yang digunakan oleh wartawan untuk melaporkan perkembangan konflik dari zon perang.

Wartawan yang terbunuh adalah Anas al-Sharif dan Mohammed Qreiqeh serta jurukamera Ibrahim Zaher dan Mohammed Noufal, dan pembantu produksi Moamen Aliwa.

Anas al-Sharif, 28, dikenali sebagai suara lantang dari Gaza dan sering melaporkan secara langsung dari kawasan paling berisiko.

Beberapa minit sebelum terbunuh, beliau memuat naik video serangan udara ke platform media sosial X dengan catatannya “Pengeboman tanpa henti… sejak dua jam, serangan Israel semakin intensif di Bandaraya Gaza,”.

Tentera Israel dalam kenyataan rasmi mendakwa bahawa Anas merupakan ketua sel Hamas yang menyamar sebagai wartawan, dan kononnya terlibat dalam perancangan serangan roket terhadap orang awam Israel.

Al Jazeera menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada kempen hasutan terhadap wartawan mereka.

Sementara itu, Pengarah Hospital al-Shifa, Dr Muhammad Abu Salmiya, mengesahkan bahawa serangan itu turut merosakkan sebahagian daripada jabatan kecemasan hospital dan menyebabkan kecederaan kepada beberapa kakitangan perubatan.

“Khemah media itu dibom secara langsung. Mereka tiba di jabatan kecemasan dengan kecederaan parah, namun tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Komiti Melindungi Wartawan (CPJ) sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan Anas al-Sharif dan menuduh Israel menjalankan kempen fitnah terhadap beliau.

Sejak Oktober 2023, lebih 200 wartawan dan pekerja media telah terbunuh di Gaza, menjadikan konflik ini antara yang paling berbahaya bagi pengamal media.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment