DAP sifatkan cadangan protes sebagai buli

KUALA LUMPUR 10 Ogos – DAP menyifatkan ugutan membuat protes di depan premis perniagaan atau “mengajar” orang untuk mengibar bendera adalah satu cara membuli yang sudah tentu ditolak sama sekali oleh rakyat Malaysia.

Setiausaha Agungnya Anthony Loke Siew Fook berkata, dalam menangani apa-apa insiden kesilapan berkenaan bendera, pihak yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang adalah pihak polis.

Katanya mereka perlu diberi ruang untuk bertindak secara adil dan saksama berpaksikan kepada prinsip Kedaulatan Undang-undang atau “Rule of Law”.

“Jadi, tidak perlulah mana-mana pihak cuba “menangguk di air keruh” apatah lagi mengugut untuk membuat protes di depan premis perniagaan yang terbabit atau “mengajar” orang untuk mengibar bendera.

Tindakan seperti itu adalah satu cara membuli yang sudah tentu ditolak sama sekali oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya.

Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO,  Dr Muhamad Akmal Saleh mengajak orang ramai bersama-sama ‘mengajar’ dua individu di Bertam, Pulau Pinang itu cara yang betul memasang Jalur Gemilang pada Isnin ini.

Bagaimanapun Himpunan Maruah Tanah Airku itu dibatalkan berikutan lelaki yang mengibarkan bendera terbalik itu sudah ditangkap dan akan didakwa esok.

Loke dalam kenyataannya berkata, semangat patriotisme seseorang tidak boleh dinilai semata-mata dengan satu “bentuk” sahaja.

“Setiap orang mempunyai cara yang berlainan untuk menunjukkan kecintaan mereka kepada negara dan tidak ada mana-mana pihak boleh memonopoli erti patrotisme. Bak kata pepatah Inggeris, “the substance is more important than the form”,” katanya.

Beliau berkata, dalam kehangatan menunggu ketibaan 31 Ogos, beberapa insiden terpencil di mana Jalur Gemilang dipasang secara tidak betul telah menjadi polemik yang hangat dan berpontensi menyimpang fokus sambutan Hari Kebangsaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan. Itu sebabnya ada undang-undang khusus untuk mengawal selia pengibarannya,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment