Muktamar Pas lulus 8 usul

MUKTAMAR Tahunan Pas ke-66 semalam, 13 September sebulat suara meluluskan lapan usul termasuk isu berkaitan normalisasi hubungan diplomatik Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Liga Arab dengan Israel.

Usul berkenaan dibentangkan perwakilan Dewan Ulama Pas Pusat Muhammad Najhan Shahir Abdul Halim semasa membawakan usul itu pada muktamar tersebut.

Menerusi usul berkenaan, Dewan Ulama mendesak agar umat Islam dan setiap kerajaan Islam membantah dan mengecam pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara haram Israel, serta sebarang bentuk normalisasi hubungan diplomatik dengan negara Israel, bagi mengekang perluasan kuasa politik dan penjajahannya ke atas Palestin.

Dewan Ulama Pas Pusat turut mengecam tindakan Liga Arab, UAE dan Bahrain, yang mengiktiraf normalisasi hubungan diplomatik dengan Israel, yang merupakan satu bentuk pencabulan dan permusuhan terhadap ummah selain turut menggesa kerajaan Malaysia mengkaji pendirian “two-state solution” dalam hubungan luar kerajaan terhadap isu Palestin, dengan memberi penekanan terhadap sejarah dan nilai agama untuk kepentingan Palestin dan rakyatnya, dengan solusi yang adil. 

Sementara itu, usul kedua yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat Pas Pusat yang diwakili oleh Asmak Husin, mengupas isu perjudian yang meminta pihak berkuasa bertindak serius membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen, yang semakin berleluasa.

Sementara itu, enam lagi usul diterima tanpa dibahaskan antaranya melibatkan cadangan daripada Pas Kawasan Titiwangsa, yang mendesak agar tindakan tegas diambil kepada setiap individu, kumpulan masyarakat, pemimpin parti politik yang tidak bertanggungjawab, menghina dan memainkan Rukun Negara serta Lambang Negara sebagai bentuk gurauan.

Selain itu, usul seterusnya dari Dewan Muslimat Pas Pusat mahu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah Kementerian Kewangan, memberi kelonggaran kepada pencarum untuk menggunakan kewangan dari Akaun II (30% caruman) bagi tujuan mengerjakan ibadah Haji khusus, kepada pemohon buat kali pertama.

Terdapat juga usul daripada Pas kawasan Padang Rengas, menggesa Kementerian Pengajian Tinggi dengan mewujudkan Wakaf Pendidikan Tinggi Nasional bagi mengurangkan beban kewangan mahasiswa di era Covid-19, manakala Pas kawasan Balik Pulau mengusulkan supaya kementerian menjadikan mata pelajaran Pendidikan Islam, sebagai subjek wajib dalam peperiksaan bagi murid Islam.

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) pula mengesyorkan kewujudan polisi, garis panduan dan tatacara kewangan pengurusan dana politik, selari dengan dasar Islam, undang-undang negara, dan tidak merugikan perjuangan Pas.

Usul DPPM seterusnya ialah mencadangkan supaya Pas memastikan parti itu mendapat minima 50 peratus kerusi majoriti Melayu di Perak, dengan 20 peratus daripada jumlah kerusi itu dicalonkan anak muda.

Related posts

Leave a Comment