Sanusi mohon tarik balik pertuduhan menghasut

SHAH ALAM 27 Sept. – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini untuk menarik balik pertuduhan menyebut perkataan menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik.

Menerusi peguamnya, Awang Armadajaya Awang Mahmud memaklumkan perkembangan terbabit ketika pengurusan kes status di hadapan Hakim Aslam Zainuddin hari ini.

Awang Armadaya berkata, beliau menerima arahan daripada anak guamnya supaya pertuduhan berkait Sultan Selangor ditarik balik sebaik menerima pengampunan daripada baginda.

“Seperti diketahui umum, anak guam (Muhammad Sanusi) saya ada menulis kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor memohon ampun dan maaf.

Saya diarahkan sebenarnya ada jawapan daripada Duli Yang Maha Mulia (Sultan Selangor), berkaitan pertuduhan yang merujuk kepada Sultan Selangor, saya mohon agar pertuduhan itu ditarik balik, itu arahan yang saya terima.

“Saya tiada bantahan sekiranya ada pengurusan kes dalam tempoh sebulan, jadi saya mohon pendakwaan menerima (bahawa) telah ada dan diketahui umum, Sultan Selangor sudah memberi pengampunan dan kemaafan terhadap anak guam saya,” katanya hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memohon penangguhan sebulan untuk Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbangkan dan meneliti representasi dikemukakan Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

“Pihak pendakwaan memohon masa sebulan berikutan AGC masih mempertimbangkan representasi berkenaan,” katanya.

Pada prosiding itu, peguam pemerhati Sultan Selangor,  Salehuddin Saidin mengesahkan kenyataan Sultan Selangor yang memaafkan Muhammad Sanusi.

Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, Aslam menetapkan 25 Oktober ini bagi sebutan kes itu.

Berdasarkan dua pertuduhan, Muhammad Sanusi, 50, didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, kira-kira jam 11 malam ,11 Julai 2023.

Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Nnn

 

Related posts

Leave a Comment