KUALA LUMPUR 5 Ogos – Ahli Parlimen pembangkang dinasihatkan mencari kata sepakat sesama mereka berhubung isu peruntukan, sebelum berjumpa dan berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menasihatkan demikian berkata, mereka tidak seharusnya bergerak secara bersendirian untuk berunding dengan pihak kerajaan.
“Saya setuju kita minta Timbalan Perdana Menteri (Fadillah untuk wakili kerajaan berunding dengan Ahli Parlimen pembangkang)… (kita) terbuka untuk mendengar.
Kalau (nak) mula (berunding) mesti ada kesepakatan antara Ahli Parlimen pembangkang terlebih dahulu. Sekarang belum sepakat. Ada seorang dan ada berkumpulan. Ada setuju runding dan ada tak setuju berunding.
Jadi saya cadangkan YB (Yang Berhormat) Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) runding dulu dengan PN. Ambil kata sepakat dan beritahu TPM yang dapat mandat,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mahu kerajaan bertindak adil berhubung isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Ditanya oleh Hamzah Zainudin (PN-Larut) sama ada Perdana Menteri bersedia berjumpa dengannya untuk berbincang isu peruntukan, Anwar berkata lebih baik berjumpa dengan Fadillah yang diberikan mandat untuk menguruskan hal itu.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, tidak ada masalah untuk beliau berjumpa dan berbincang dengan Ketua Pembangkang itu jika ia menyentuh hal lain.
Nnn
