NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan sesi tergempar berhubung isu tebusan di Gaza susulan rakaman dua tebusan ditahan Hamas, dilihat dalam keadaan kurus kering yang turut merujuk keadaan kemanusiaan parah di Gaza
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon, semalam berkata ia susulan lonjakan kemarahan terhadap nasib mereka di wilayah dilanda kebuluran susulan peperangan.
Israel mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan bantuan ke Gaza, manakala agensi PBB, kumpulan kemanusiaan dan penganalisis pula menyatakan sebahagian besar bantuan dibenarkan masuk Tel Aviv sudah dijarah atau diseleweng dalam keadaan huru-hara.
Ramai penduduk Palestin yang terdesak, terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkan bantuan yang diagihkan melalui saluran kawalan terbabit.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memohon bantuan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah menyalurkan makanan kepada tebusan.
Hamas menerusi maklum balasnya pula menyatakan, akan membenarkan agensi itu mendapat akses kepada tebusan, jika ‘koridor kemanusiaan’ bagi penghantaran makanan dan bantuan dibuka ‘di seluruh Semenanjung Gaza’.
Katanya, Hamas ‘bukan sengaja membiarkan tebusan kebuluran’, sebaliknya tahanan tidak akan menerima sebarang keistimewaan untuk akses kepada makanan ‘ketika jenayah kebuluran dan kepungan’ berlaku di Gaza.
Hamas dan Daesh sejak beberapa hari lalu, menyiarkan tiga video yang memaparkan dua tebusan diculik ketika serangan pada 7 Oktober 2023 di Israel, yang mencetuskan peperangan berlarutan sehingga kini.
Imej Rom Braslavski dan Evyatar David dilihat lemah serta kurang zat makanan mencetuskan semula desakan di Israel bagi gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan.
