Menteri Israel ceroboh Al-Aqsa dikecam

ANKARA – Tindakan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir menceroboh ke kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur mendapat kecaman Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan beberapa negara Arab.

Provokasi berulang Israel itu dikecam apabila, Ben-Gvir mengetuai sekumpulan besar pendatang Yahudi ke kompleks masjid itu awal pagi semalam, sempena sambutan perayaan Yahudi Tisha B’Av.

OIC yang berpangkalan di Jeddah dalam kenyataannya menyifatkan tindakan Ben-Gvir sebagai sebahagian daripada usaha Israel untuk mengubah ‘status quo’ dan undang-undang Masjid Al-Aqsa.

Pertubuhan itu turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya segera mengambil tanggungjawab menghentikan pelanggaran serius Israel yang menyasarkan tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Kementerian Luar Arab Saudi pula memberi amaran bahawa tindakan provokatif oleh pegawai kerajaan Israel di Masjid Al-Aqsa hanya akan menyemarakkan lagi konflik di rantau ini.

Riyadh menyifatkan tindakan sedemikian ‘melanggar undang-undang dan norma antarabangsa’ serta menjejaskan segala usaha ke arah perdamaian dan menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan amalan rejim Israel itu.

Turkiye juga mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dilakukan beberapa menteri Israel, dengan kawalan polis Israel serta diiringi kumpulan pendatang Yahudi terhadap Masjid Al-Aqsa.

“Keselamatan Masjid Al-Aqsa dan pemeliharaan identiti suci Baitulmuqaddis bukan sahaja menjadi keutamaan serantau, malah tanggungjawab utama demi kesedaran kemanusiaan secara kolektif,” kata kenyataan Kementerian Luar Turkiye.

Berdasarkan perjanjian silam antara Israel dan Jordan selaku penjaga tapak suci berkenaan, sebarang upacara keagamaan Yahudi dilarang diadakan di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Bagaimanapun, persefahaman yang dikenali sebagai “status quo” itu berulang kali dicabuli oleh pelawat Yahudi, termasuk anggota Parlimen Israel, sejak beberapa tahun kebelakangan lalu.

Sementara itu, Kementerian Luar Jordan menyifatkan tindakan Ben-Gvir sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta provokasi dan peningkatan ketegangan yang tidak boleh diterima.

Amman menegaskan bahawa seluruh kawasan Masjid Al-Aqsa adalah ‘tempat ibadah eksklusif bagi umat Islam’ dan menekankan bahawa Jabatan Wakaf Baitulmuqaddis dan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa yang dikendalikan Jordan adalah satu-satunya pihak berkuasa sah yang bertanggungjawab mengurus dan mengawal selia akses ke kawasan itu.

Pihak Berkuasa Palestin turut mengecam pencerobohan terbaharu oleh Ben-Gvir ke kawasan suci itu yang menegaskan ia bukan insiden terpencil.

“Kekerapan pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh pegawai kanan Israel membuktikan bahawa kerajaan Israel secara aktif melaksanakan dasar penjajahan dan perkauman yang bertujuan menghapuskan kehadiran rakyat Palestin di Baitulmuqaddis serta melenyapkan perjuangan Palestin,” kata Kementerian Luar Palestin.

Gerakan Hamas pula menyifatkan pencerobohan Ben-Gvir sebagai ‘tindakan jenayah’ yang secara langsung mengancam keselamatan dan kestabilan serantau serta antarabangsa.

Dalam kenyataan berasingan, Hamas menyatakan bahawa serangan itu adalah sebahagian daripada ‘jenayah berterusan terhadap Masjid Al-Aqsa’ dan juga lanjutan daripada serangan menyeluruh Israel ke atas rakyat Palestin, tanah dan tempat-tempat suci mereka.

Related posts

Leave a Comment