ANKARA – Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) mempersoalkan logik di sebalik keutamaan kepada penghantaran bantuan melalui udara ke Gaza.
Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini, menyifatkan langkah itu sebagai ‘tidak berkesan, tidak mencukupi, dan sekurang-kurang 100 kali lebih mahal berbanding penghantaran menggunakan lori’,
Dalam kenyataannya, beliau berkata penggunaan lori membawa bantuan adalah dua kali ganda lebih banyak daripada pesawat.
“Jika ada kemahuan politik untuk membenarkan penghantaran udara yang sangat mahal, tidak mencukupi dan tidak berkesan, maka sepatutnya ada juga kemahuan politik yang sama untuk membuka laluan darat,” katanya
Lazzarini menekankan bahawa ‘satu-satunya cara untuk menangani kebuluran ialah membanjiri Gaza dengan bantuan.’
UNRWA – agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbesar di lapangan – mempunyai 6,000 lori sarat dengan bantuan yang tersekat di luar Gaza dan sedang menunggu lampu hijau untuk masuk.
Malah, beliau mengimbau kejayaan gencatan senjata sementara pada awal tahun ini, sebagai contoh jelas keberkesanan akses kemanusiaan yang diselaraskan.
“PBB, termasuk UNRWA dan rakan-rakan kerjasama, berjaya membawa masuk 500 hingga 600 lori sehari ketika gencatan senjata, awal tahun ini. Bantuan sampai kepada seluruh penduduk Gaza dengan selamat dan bermaruah.
“Ia berjaya menterbalikkan keadaan kebuluran yang semakin parah, tanpa sebarang pelencongan bantuan,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranan penting UNRWA dalam menguruskan penghantaran bantuan yang berkesan dan selamat.
Katanya rakyat Gaza kini memerlukan bantuan makanan berserta satu gencatan senjata yang berkekalan.
Nnnn
