Kadar tarif tidak jejas hak kedaulatan negara

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dicapai tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar penting demi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), berkata rundingan tarif antara Malaysia dan AS yang bermula pada 6 Mei 2025 telah dimuktamadkan secara rasmi pada 31 Julai 2025.

Dalam satu kenyataan, MITI berkata hasil positif ini adalah susulan kepada usaha berterusan antara kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala, dan mencerminkan tahap saling melengkapi yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan AS selama lebih 60 tahun.

MITI yang menganggap pengurangan kadar tarif ini sebagai satu pencapaian besar hasil proses rundingan yang teliti dan sistematik oleh Malaysia berkata, paling  penting, Malaysia telah bertegas dalam mempertahankan pelbagai perkara berprinsip (red line).

AS mula mengenakan tarif 19 peratus terhadap Malaysia serta empat lagi negara anggota ASEAN Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia, berkuat kuasa hari ini seperti perintah eksekutif yang dikeluarkan Rumah Putih pada 31 Julai 2025.

Bagaimanapun Laos dan Myanmar dikenakan tarif tertinggi di rantau ini masing-masing pada kadar 40 peratus.

Pengumuman ini dibuat susulan kenyataan Washington pada 7 Julai lalu yang menetapkan tarif 25 peratus untuk produk Malaysia, tetapi diturunkan kepada 19 peratus selepas rundingan bersama.

Vietnam dikenakan kadar tarif 20 peratus manakala Brunei menerima kadar 25 peratus. Singapura pula kekal menikmati kadar tarif paling rendah dalam kalangan negara ASEAN iaitu 10 peratus, yang tidak berubah sejak pelaksanaan awalnya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment