KUALA LUMPUR 28 Julai – Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard ditahan polis di kediamannya hari ini berkaitan himpunan pembangkang di Dataran Merdeka kelmarin.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali menerusi kenyataan, memaklumkan aktivis politik itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang di kediamannya.
Beliau memberitahu , pihaknya menerima pengesahan bahawa terdapat laporan polis terhadap Badrul Hisham berkaitan himpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, kertas siasatan dibuka atas dakwaan empat kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan kecil; Kanun Keseksaan; Akta Komunikasi Multimedia dan Akta Hasutan.
“Temu janji antara pegawai penyiasat dan Chegubard ditetapkan pada Selasa jam 11 pagi di Bukit Aman,” katanya yang menegaskan tangkapan dalam kes ini tidak diperlukan kerana Badrul Hisham memberi aku janji untuk hadir di Bukit Aman.
Beliau juga kesal atas tindakan itu, lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang insiden tidak diingini semasa dan atau susulan Himpunan Turun Anwar.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Mohamed Jan dilaporkan berkata, polis setakat ini menerima empat laporan berkaitan himpunan berkenaan.
Satu kes di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), manakala tiga lagi dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) berkaitan dron.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
(Foto hiasan)
Nnn
