KUALA LUMPUR 28 Julai – Malaysia akan terus memainkan peranan selaku Pengerusi ASEAN bagi memantau pelaksanaan dan pemantauan genjatan senjata di antara Thailand dan Kemboja yang bakal bermula tengah malam ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata persetujuan itu dicapai dengan Malaysia bertindak sebagai perantara dan tuan rumah dalam rundingan bersejarah hari ini.
“Alhamdulillah, dua negara sahabat ASEAN, Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan persengketaan melalui pelaksanaan gencatan senjata bermula tengah malam ini.
“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, menerima amanah besar bersama rakan lain untuk memantau pelaksanaan dan pematuhan gencatan senjata ini, atas permintaan kedua-dua pihak,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya malam ini.
Petang tadi, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Anwar bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja yang mencapai kata sepakat melalui penyelesaian diplomatik, di samping sokongan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping bagi merealisasikan usaha damai ini.
Katanya, kesediaan Kemboja dan Thailand menamatkan konflik itu secara aman membuktikan kepemimpinan berwibawa dalam kalangan anggota ASEAN.
“ASEAN terus membuktikan kepemimpinan berwibawa di pentas antarabangsa berpaksikan dialog, diplomasi dan nilai kemanusiaan.
“Pendekatan damai ini mencerminkan semangat Piagam ASEAN berlandaskan hormat-menghormati, penyelesaian secara rundingan, dan penolakan keganasan demi kemanusiaan,” katanya.
Anwar turut menyeru supaya perpaduan ASEAN diperkukuh supaya negara anggotanya di rantau ini kekal sebagai antara wilayah paling aman, stabil dan makmur di dunia.
Katanya, keamanan perlu dikekalkan kerana ia adalah asas kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serantau.
