PDRM pemudah cara pastikan himpunan lancar

KUALA LUMPUR 25 Julai  – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan Himpunan ‘Turun Anwar’ yang dijangka berlangsung esok berjalan lancar dan selamat.

Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail menegaskan, PDRM menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.

“PDRM komited untuk memastikan perhimpunan ini dapat dilaksanakan dalam suasana yang selamat serta menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.

Kerjasama semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang perhimpunan,” kata beliau dalam satu kenyataan menjelang Himpunan ‘Turun Anwar’ esok.

Katanya, sebarang pandangan atau suara yang dizahirkan diharap dapat disampaikan dalam suasana saling menghormati, serta berlandaskan nilai kesopanan masyarakat Malaysia.

Himpunan itu yang dijangka disertai 300,000 orang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka serta melibatkan pergerakan peserta bermula dari beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Dalam parti itu, Mohd Khalid berkata, masyarakat umum yang tidak terlibat secara langsung dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menyemak maklumat trafik semasa, memandangkan aliran trafik dijangka mengalami perubahan sepanjang tempoh perhimpunan berlangsung.

PDRM juga memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan terus dipelihara, manakala hak-hak kebebasan rakyat tetap akan dihormati.

“Kami percaya bahawa perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama erat dan rasa tanggungjawab bersama,” jelas beliau lagi.

PDRM juga menghargai kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan menyeru agar semua pihak memainkan peranan secara matang dan berhemah demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment