PABILA kempen beli produk Muslim ‘diterbalik dan dihitamkan’ sebagai boikot produk bukan Muslim, maka bertungkus lumus pihak kerajaan, lebih tepat Kabinet ‘campur tangan’. Kabinet bincang dalam mesyuarat dan mengeluarkan kenyataan menolak usaha yang bertujuan menyokong barangan keluaran Muslim. Kabinet dan anggotanya berhempas pulas ‘menolak’ kempen yang diterjemahkan sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan kaum. Mereka muncul dengan pelbagai hujah bagi meyakinkan masyarakat supaya tidak memboikot produk bukan Muslim. (Nota: Pelik kenapa mereka ini menggunakan istilah boikot, bukan kempen).
Sekonyong-konyong (tahu tak maksudnya), mereka juga bercakap mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). Untuk makluman, melalui kempen ini kerajaan pada Januari lalu memperuntukkan RM20 juta untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkempen. Diharapkan peruntukan itu mampu meningkatkan dagangan barangan buatan tempatan sama ada untuk pasaran tempatan atau luar negara. Diharapkan juga barangan Muslim tidak menjadi ‘penumpang’ dalam kempen ini dengan pelbagai alasan. Jangan pula timbul tindak tanduk seperti sabotaj atau boikot.
Biarlah semua pihak sama-sama berkempen dan ‘hasut’ pengguna seperti kempen semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu untuk membeli barangan tempatan pilihan mereka. Jika kempen itu mampu mendorong mereka ‘menukar selera dengan menu baharu’ biarkanlah. Itu hak dan pilihan mereka. Sama seperti PRU, pengundi memilih untuk menukar kerajaan BN kepada PH. Kenapa? Tentulah kempen atau ‘hasutan’ itu berjaya memikat pengundi untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Tidak kurang juga dalam kalangan orang Muslim yang memperlekehkan usaha atau kempen ini (kempen ini perlu diakhiri dengan komitmen berterusan menyokong barangan Muslim). Paling popular hujah mereka tentulah tidak semua barangan atau perkhidmatan adalah keluaran atau milik orang Muslim. Golongan ini kerana disogokkan dengan istilah boikot masih tidak faham atau buat-buat tidak faham mengenai kaedah kempen ini. Lebih malang lagi, ada juga yang mengaitkan dengan agama bagi mewajarkan kenyataan mereka untuk menolak kempen ini. Begitulah hebatnya reaksi terhadap kempen Beli Produk Muslim atau Buy Muslim Product First.
Dalam nada mereka berkata tidak yakin dengan hasil kempen itu kerana ekonomi kaum Cina terlalu kuat, mereka juga menunjukkan rasa ‘cemas’. Benar, sesiapan pun tidak menafikan kekuatan ekonomi kaum Cina. Maka dalam hal ini, orang Muslim tidak ‘memboikot’ sepenuhnya produk atau perniagaan bukan Muslim. Mereka yang sering turun ke bawah (bukan sekali sekala atau orang gaji sahaja yang berbelanja) untuk membeli-belah mungkin tahu hal ini. Orang berbelanja seperti biasa tetapi ada keutamaan yang diberikan. Ingatlah dalam keadaan darurat, Islam memberi pelbagai kelonggaran, tetapi semuanya selepas habis ikhtiar. Janganlah dalam mempertahankan orang lain, hujah mereka seolah-olah mahu mematikan atau memburukkan produk Muslim.
Cukuplah tindak tanduk sesama Melayu Muslim yang seolah-olah seperti kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan atau dagang lalu ditanakkan nasi, suami pulang lapar tak makan. Peringatan ini bukan rasis tetapi perumpamaan orang Melayu turun temurun yang harus dijadikan iktibar.
Seperti ditulis sebelum ini, benar bahawa tidak semua produk dikeluarkan atau dijual oleh orang Muslim. Fahamilah kempen ini. Mengutamakan barangan atau perkhidmatan Muslim di kedai orang Muslim atau beli produk Muslim di kedai bukan Muslim, atau akhirnya jika tidak ada pilihan beli produk bukan Muslim (halal) atau perkhidmatan yang diusahakan oleh bukan Muslim. Akhirnya, matlamat membeli barangan Malaysia kekal dan hasilnya masih milik rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, masih banyak barangan atau perkhidmatan mengggunakan nama berunsur Melayu dan Islam. Masih ramai Muslim yang keliru. Restoran yang menyalahgunakan ayat suci al-Quran juga perlu dibanteras. Begitu juga ada kedai yang pemiliknya bukan Muslim tetapi meletakkan sepenuhnya orang Melayu atau Muslim di barisan hadapan untuk mengabui mata orang ramai.
Seperkara lagi, jika kempen ini tidak memberi sebarang kesan, adalah lebih baik pihak berkenaan diam daripada mengeluarkan kenyataan yang lebih menjejaskan perpaduan atau menimbulkan kemarahan. Ini hanya kempen, anggap sahaja sekadar pesta suka-suka yang muncul secara bermusim. Tidak perlu membuat rayuan atau ugutan dan sebagainya. Sebaliknya lihat kesan sampingan terhadap kempen ini, contohnya sejauh mana harga barangan tertentu boleh diturunkan atau ditawarkan pada harga lebih murah berbanding sebelumnya. Jika benar adakah penurunan itu boleh dianggap sebagai sabotaj atau menarik pengguna memboikot barangan yang ‘mahal’? Atau selama ini pengguna tertipu dengan harga sebenar.
Adalah lebih baik dalam situasi sekarang, kerajaan meraikan ‘kebangkitan’ kesedaran ini. Raikan usahawan Muslim di pelbagai peringkat supaya mereka dapat memperkasakan bidang perniagaan. Sampai bila Melayu hanya mahu menjadi kuasa pengguna atau pembeli? Carilah jalan bagaimana mahu melahirkan dalam kalangan Melayu Muslim sebagai pembekal, pemborong, pengimport yang masih didominasi bukan Melayu. Jika Melayu malas dan sukar bangkit, maka gerakkan mereka, kuatkan semangat mereka. Jangan sekadar bawa mereka beramai-ramai pamer produk di festival l atau ekspo kemudian ditinggalkan, hilang tanpa dapat dikesan produk mereka di pasar raya atau di pasaran terbuka.
Kerajaan yang diterajui orang Islam sepatutnya mengambil kesempatan kesedaran umat Islam menyokong produk Muslim yang secara tidak langsung membantu perniagaan. Jika produk Muslim tidak ada tanda halal sehingga ditolak pihak tertentu memasuki pasaran, ambillah langkah untuk membantu mereka. Jangan sekadar mengeluarkan kenyataan berbentuk ‘ugutan’ yang boleh melemahkan semangat usahawan ini untuk terus bersaing. Beri juga perhatian supaya pemilik tanda halal benar-benar mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tanda halal itu bukan sekadar ‘lesen’ untuk meyakinkan pengguna tetapi perlu dipastikan proses pembuatan benar-benar mematuhi syarat yang ditetapkan. Banyak pendedahan yang dibuat mengenai tahap kebersihan premis halal yang meragukan.
Akhirnya, jika kerajaan mahu mengurangkan kakitangan awam yang kebanyakan Melayu, menutup institusi perguruan, juga kebanyakan Melayu, janganlah disempitkan peluang Melayu dalam bidang perniagaan. Sudah terlalu lama Melayu tertinggal dalam bidang ini. Jangan jadikan Melayu bagaikan lebai malang…..yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Sumber: http://bebasnews.my/2019/09/10/raikan-kesedaran-beli-produk-muslim/