BANGI 23 Julai – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandang serius dapatan Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 yang melibatkan beberapa aspek ketidakpatuhan proses perolehan bagi projek-projek pembekalan perkhidmatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)
Komunikasi UKM dalam satu kenyataan berkata, sebagai institusi pengajian tinggi awam yang berintegriti, UKM komited untuk memastikan setiap perbelanjaan diurus secara telus dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Justeru itu, sebagai langkah proaktif, Naib Canselor telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara di Parlimen hari ini bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan berkenaan tatacara tadbir urus universiti,” kata kenyataan itu.
UKM juga akan bertindak selaras dengan syor Jabatan Audit Negara agar menambah baik Garis Panduan Perolehan UKM berkaitan proses penilaian dan pemilihan kontraktor bagi memastikan ianya selaras dan mengikut Pekeliling Perbendaharaan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa.
Jabatan Audit Negara pada Selasa mendedahkan bahawa tiga daripada keseluruhan tujuh tender perolehan berjumlah RM66.64 juta yang membabitkan UKM tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Jawatankuasa Perolehan Tender universiti itu telah meluluskan tiga daripada tujuh tender kepada syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Kewangan dan Pra-Tender.
Antara projek yang dikritik adalah pembekalan, penghantaran, pemasangan dan pentauliahan sistem Linear Accelerator (LINAC) serta peralatan sokongan dan kerja ubah suai di HCTM.
HCTM juga didapati menganugerahkan kontrak katering tiga tahun bernilai RM25.64 juta kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
LKAN 2/2025 mendedahkan syarikat itu, yang dikenal pasti sebagai 0267299-T, memperoleh tender untuk membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM sejak Februari 2024 hingga Februari 2027.
Menurut laporan itu, perolehan tender tersebut bertujuan ‘menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian dengan status Dapur Utama yang telah mendapat pensijilan halal daripada Jakim’.
Nnnn
