SEPANG 22 Jun – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor, yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Pemimpin utama parti itu, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam kenyataan bersama berkata, senarai calon akan diumumkan Jumaat ini bersempena pelancaran trak kancil di Johor Bahru.
Daripada 15 kerusi itu, BERSAMA menawarkan diri di lapan kawasan DUN yang sebelum ini diwakili UMNO iaitu Bukit Naning; Mahkota; Tiram; Permas; Larkin; Kempas; Kota Iskandar dan Bukit Permai.
Lima lagi melibatkan kawasan diwakili DAP iaitu Johor Jaya; Stulang; Perling; Skudai dan Senai manakala dua lagi adalah Puteri Wangsa (Muda) dan Bukit Batu (PKR).
Menurut kenyataan itu, kerusi yang akan ditandingi adalah berdasarkan latar belakang dan kecenderungan pengundi mengikut dapatan kaji selidik serta data yang dijalankan sejak enam bulan yang lalu.
“Selain itu, ia juga berdasarkan keahlian mengikut unit Parlimen dan kecenderungan ahli BERSAMA di kawasan berkenaan serta kesesuaian calon dari kalangan perintis BERSAMA di Johor dan calon terbuka yang menawarkan diri untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Pemilihan kerusi juga adalah berdasarkan kemampuan BERSAMA mengendalikan kempen pilihan raya secara berkesan di kerusi berkenaan,” katanya.
Katanya, sistem kempen bersepadu BERSAMA akan mula dibuka esok yang membolehkan ahli BERSAMA dan orang ramai dari seluruh negara memilih kempen pilihan raya yang ingin disertai mengikut tarikh, masa, lokasi dan jenis aktiviti.
“Sistem ejen undi (PACA) juga telah dibuka untuk pendaftaran dengan orang ramai boleh lawati bersama.org dan klik Sertai Kempen” menurut kenyataan itu.
BERSAMA berhasrat merintis kempen pilihan raya moden yang tidak memerlukan perbelanjaan besar dengan mengaktifkan seberapa ramai ahlinya dan orang ramai dari seluruh negara membantu kempen BERSAMA di 15 kerusi ini secara sukarela.
“Bagi BERSAMA, PRN Johor 2026 bukan sahaja medan berebut kerusi dan pangkat untuk orang-orang politik. Ia peluang merintis budaya politik yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat dan masa depan negara dan rakyat,” kata kenyataan itu.
Nnnn
