Dana ke Gaza ada tetapi masih terhalang

KUALA LUMPUR 22 Julai – Malaysia mengambil pelbagai inisiatif termasuk memohon bantuan dan kerjasama Mesir, Qatar dan Jordan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza, kata  Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, usaha tersebut terhalang apabila terdapat ratusan lori yang membawa muatan makanan tersekat di sempadan masuk sehingga ada barangan yang rosak.

Menjawab soalan tambahan Doris Sophia Brodi (GPS–Sri Aman) beliau juga menjelaskan bahawa Malaysia masih mempunyai keupayaan dana untuk terus menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Kita masih mempunyai kelengkapan, dana dan kemudahan. Beberapa kali saya mohon kerjasama dengan Mesir untuk membantu, tetapi masih dihalang oleh Israel.

Kita juga mengambil langkah melalui Qatar dan kumpulan pertama berjaya menembusi sekatan, manakala kumpulan kedua masih terhalang di sempadan Israel.

Langkah ketiga yang diambil oleh Kementerian Luar ialah melalui Jordan. Malah, Menteri Luar berada di sana dan menyalurkan bantuan kepada beberapa hospital serta bantuan lain, termasuk usaha Jordan membawa makanan dan bantuan perubatan ke Gaza. Itu pun masih tersekat,” katanya.

Anwar menambah, dunia sedang berdepan dengan Israel yang disifatkan sebagai tidak waras dan ganas sehingga langsung tidak peduli melihat ramai bayi mati kelaparan.

“Nilai kemanusiaan telah hilang, dan kita telah mendedahkan hipokrasi serta kemunafikan beberapa negara Barat yang membiarkan keadaan ini berlarutan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan suara dan pendirian Malaysia yang tegas mempertahankan Gaza, menyebabkan negara menjadi sasaran kehadiran ejen Mossad selain penyeludupan senjata api dan dadah.

Justeru, Perdana Menteri berkata, langkah tambahan sudah diambil kerajaan termasuk melalui Kementerian Dalam Negeri untuk mengenalpasti tindakan terbabit dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.

“Badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenal pasti. Taklimat terbaru diberi badan perisikan Malaysia.

“Memang mereka ambil berat betul soal ini terutama setelah terbukti bukan saja kehadiran mereka tetapi menggunakan pasangan suami isteri Melayu sebagai sama ada ejen ataupun yang bekerjasama dengan Mossad,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal mahu tahu usaha dilakukan kerajaan dalam meningkatkan aspek keselamatan susulan beberapa insiden yang dikaitkan dengan ejen Mossad.

Ahli Parlimen Machang itu turut memberi contoh pembunuhan pensyarah universiti warga Palestin yang dipercayai didalangi Mossad serta membangkitkan soal kerosakan sistem pintu automatik (autogate) yang dikhuatiri mengancam keselamatan negara.

Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa sememangnya mengambil berat soal isu berkenaan yang bukan sahaja terbukti atas kehadiran ejen Mossad di negara ini, namun sanggup menggunakan orang tempatan.

Namun katanya, disebabkan oleh teknologi mereka yang cukup canggih, kumpulan itu berupaya bolos keluar sebelum dapat dikenal pasti.

“Paling akhir ialah kes di mana pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang bersekongkol dengan ejen dipercayai Mossad, menyeludup senjata dari Thailand dan kemudian ditangkap dan sekarang ini ditahan di penjara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, masalah sistem autogate itu terkait dengan badan antarabangsa termasuk Polis Antarabangsa (INTERPOL) untuk ditingkatkan keupayaannya dan setakat ini ia sudahpun dapat diselesaikan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment