Thailand beri amaran peningkatan kes

BANGKOK 5 Jan. – Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memberi amaran kes harian Covid-19 boleh mencecah ‘berpuluh ribu’ kes sehari jika rakyat meningkatkan kawalan terhadap langkah-langkah membendung penularan wabak itu.

Penolong Jurucakap CCSA, Dr.Sumanee Wacharasin, berkata, dua minggu akan datang akan menentukan hala tuju wabak itu di negara ini.

“Kita boleh melihat bilangan jangkitan baharu dalam puluhan ribu jika langkah kesihatan diabaikan,” katanya pada taklimat media mengenai pandemik itu.

Beliau memberi amaran itu selaras dengan senario yang diunjurkan oleh Kementerian Kesihatan Awam bulan lalu bahawa jangkitan baharu yang didorong oleh Omicron boleh melonjak kepada 10,000 atau 30,000 kes sehari.

Thailand hari ini merekodkan 3,899 kes baharu Covid-19, meningkat berbanding 3,091 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes 2,239,475.

Daripada 3,899 kes baharu, 169 adalah kes import manakala 3,730 kes jangkitan tempatan manakala sebanyak 19 kematian dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 21,769 orang.

Ketika ini kes varian Omicron terus meningkat dan menular ke 55 wilayah di Thailand, dengan merekodkan 2,062 setakat semalam dan hari ini merekodkan 276 kes menjadikan 2,338.

Wilayah Chon Buri merekodkan 529 kes, Bangkok 408 kes, Ubon Ratchathani 315, Samut Prakan 259, Khon Kaen 164, Phuket 138, Chiang Mai 135, Nakhon Si Thammarat 91, Phatthalung 87 dan Nonthaburi 78.

Kebanyakan kes di Samut Prakan melibatkan ketibaan pelawat melalui lapangan terbang Suvarnbhumi.

Pada Selasa, sebanyak 34,877 orang mendapatkan rawatan di hospital termasuk 541 yang kritikal dan 149 bergantung kepada ventilator sementara 2,508 dilaporkan sembuh menjadikan jumlah pulih 2,182,829 orang.

Related posts

Leave a Comment