SEMALAM, 15 Julai 2025, ketika singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah Arah Selatan, dapat disaksikan pelbagai ragam peniaga dan pembeli ‘melayani’ sistem pembayaran tanpa tunai yang mula dikuatkuasakan sepenuhnya.
Kelihatan juga beberapa petugas penyelenggara mungkin dari PLUS sibuk menampal poster berkaitan arahan pembayaran tanpa tunai – 100% Cashless!
Entah kenapa sibuk ditampal ‘pada hari kejadian’, tidak beberapa hari sebelumnya.
Bagaimanapun di sesetengah gerai atau kaunter sudah ada notis “Road to cashless”, suatu peringatan kepada orang ramai yang singgah dan berbelanja.
Ketika singgah membeli minuman di salah satu premis, petugas di kaunter bertanya sama ada saya ada kod QR. Disebabkan dah bawa keluar RM, saya kata tak ada walaupun saya kad serta Touch ‘n Go eWallet.
Mujurlah petugas tu memberitau kalau tunai bayaran tepat sahaja, maknanya bagi cukup-cukup, tiada tukaran.
Begitu juga seorang pelanggan lain yang membeli minuman apabila ditanya tentang QR memberitahu, telefonnya sudah kehabisan bateri. Ditanya pula kad, katanya kad tertinggal di dalam kereta. Akhirnya layan juga bayaran secara tunai.
Maknanya masih ada timbang rasa untuk melayani pelanggan yang singgah berehat sama adauntuk solat, ke tandas serta makan minum di situ. Tidaklah terlalu rigid dengan peraturan yang sudah dikuatkuasakan.
Di satu premis lain, saya tengok seorang wanita sudah pun mengambil ‘kudapan’ yang siap berbungkus tetapi apabila diberitahu bayaran mesti menggunakan QR, beliau terus letak kembali makanan itu sambil merungut.
Pada masa sama seorang lagi sebelum mengambil makanan menunjukkan kad debit, tetapi tidak pula diterima!
Satu lagi ada yang apabila kita sekesai imbas dan bayar, terpaksa pula peniaga ambil foto urusan bayaran di telefon kita untuk pengesahan atau rekod sedangkan sudah ada sistem yang mana penjual dan pembeli boleh mendengar urusan bayaran sudah dilaksanakan.
Berbalik kepada beberapa situasi itu, nampak seperti peniaga belum bersedia sepenuhnya, contohnya berkaitan penggunaan kad debit atau kad kredit. Ada yang terima dan ada yang tidak.
Sebagai peniaga, mereka sepatutnya lebih bersedia untuk melaksanakan peraturan itu. Biar lengkap semuanya bagi memudahkan urusan pelanggan walau di mana sahaja premis yang mereka berurusan. Penyeragaman itu amat penting.
Bagi pembeli, tidak semuanya adalah pengguna tegar yang setiap hari menggunakan lebuh raya dan singgah di R&R. Benar sistem ini bukan sesuatu yang baharu terapi maklumat berkaitan perlu dihebahkan.
Maka tidak timbul masalah tertinggal telefon dan kad di dalam kereta atau duit dalam dompet digital tidak mencukupi.
Apa pun diharapkan sistem pembayaran ini dapat diterima sebaiknya dan sebarang kelemahan dapat diperbaiki dari semasa ke semasa sehingga kedua-dua pihak selesa menerima pakai sistem ini.
Dan diharapkan dalam tempoh itu, wang tunai masih diterima sekiranya pembeli tidak ada pilihan lain – hanya mempunyai wang tunai.
Atau cari kaedah lain yang dapat membantu kumpulan ini – tidak ada ‘dompet digital’ atau kad tetapi masih boleh berurusan tanpa tunai. Contohnya ada medan selera yang memperkenalkan kad yang ‘dibeli’ pada harga tertentu contoh RM10.
Melalui kad ini, pengguna boleh membeli apa sahaja di premis berkenaan tanpa melebihi had simpanan pada kad tersebut. Selepas membeli keperluan,jika ada lebihan boleh tebus kad itu dan baki dipulangkan.
Hakikatnya, penggunaan QR semakin popular bagi menggantikan transaksi kaedah konvensional yang mungkin lebih lembab.
Buat warga emas (tidak semua) yang tidak ditemani anak cucu, bersedialah untuk membawa bersama kad debit, kad kredit atau ‘dompet digital’ yang ada duit bagi memudahkan transaksi ketika singgah di R&R berkenaan.
Ini kerana wang tunai sama ada wang kertas atau siling ‘tidak sah diperlakukan’ lagi apabila mahu membeli minuman atau makanan.
Nnnn
