Menara KL: Saman RM1 bilion diteruskan

KUALA LUMPUR 15 Julai – Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd boleh meneruskan saman RM1 bilion terhadap kerajaan berhubung penamatan perjanjian pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain hari ini yang menolak permohonan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan untuk membatalkan saman berkenaan.

Melalui keputusannya Roz Mawar berkata saman terhadap Fahmi dan kerajaan tidak wajar dibatalkan pada peringkat ini kerana terdapat isu yang perlu dibicarakan, khususnya berkaitan perjanjian yang dicadangkan pada 2022, yang memerlukan perbicaraan penuh.

Susulan itu, Roz Mawar menetapkan 3 November depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Beliau berkata, Fahmi dan kerajaan memberikan lima alasan bagi menyokong permohonan mereka untuk membatalkan saman ini.

“Walaupun saya mungkin bersetuju dengan sebahagian daripada alasan itu, mahkamah mendapati kes ini tidak wajar ditolak pada peringkat ini, terutamanya yang berkaitan dengan perjanjian pada 2022.

Mahkamah ini tidak boleh membenarkan pembatalan tuntutan terhadap defendan pertama (Fahmi) dan kedua (kerajaan) kerana ini bukanlah kes yang jelas dan nyata, di mana tuntutan berkenaan tidak berasas sama sekali.

Oleh itu, saya menolak permohonan defendan pertama dan kedua,” katanya.

Dalam prosiding sama, Roz Mawar turut membenarkan permohonan tiga syarikat yang dinamakan sebagai defendan untuk membatalkan saman terhadap mereka.

Ia mengambil kira penyataan tuntutan yang difailkan terhadap ketiga-tiga syarikat itu yang disifatkan lemah, terlalu umum dan tidak mencukupi bagi satu tuntutan yang memerlukan bukti unsur-unsur khusus.

“Plaintif gagal menyatakan fakta khusus bagi menyokong dakwaan mereka berkaitan pengetahuan defendan, cara campur tangan (sama ada secara langsung atau tidak langsung), sebarang niat khusus untuk campur tangan, atau apa-apa kerugian khas yang dialami.

“Plaintif juga gagal memperincikan bagaimana defendan ketiga hingga kelima telah melanggar sebarang kewajipan yang berkaitan dengan amanah. Dakwaan serius seperti ketidakjujuran memerlukan kenyataan yang serius dan disokong oleh fakta kukuh, bukan sekadar kesimpulan,” katanya.

Pada Mac 2024, Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman terhadap Fahmi, kerajaan, LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.

LSH Service Master merupakan usaha sama antara LSH Best Builders dan Service Master, yang telah dianugerahkan konsesi pengurusan Menara KL bagi menggantikan Hydroshoppe dan MKLSB.

Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman berkenaan berikutan dakwaan penamatan tidak sah perjanjian mereka pada November 2022, yang termasuk lanjutan tempoh konsesi syarikat daripada 15 kepada 30 tahun.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment