Polis siasat sebaran ‘minit mesyuarat JAC’

KUALA LUMPUR 13 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit mendedahkan dan menyebarkan maklumat disyaki minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penyebaran itu dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Katanya, tumpuan siasatan adalah terhadap pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman dan media sosial.

“Semua saksi kompeten akan dipanggil bagi membantu siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mohd Khalid turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan sebarang dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat.

Terdahulu, media melaporkan satu laporan polis dibuat berhubung kebocoran dokumen didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tersebar dalam talian semalam.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan,  Fahmi Fadzil, hari ini dilaporkan berkata beliau difahamkan laporan polis mengenai perkara itu sudah dibuat.

“Saya difahamkan ada laporan polis yang sudah dibuat. Saya tidak boleh sahkan sama ada dokumen yang tersebar itu sahih atau tidak. Sekiranya ia adalah dokumen yang sahih dan terperingkat, diklafikasikan terpakai di bawah Akta Rahsia Rasmi, jadi kita perlu berwaspada.

“Sekiranya ia sahih dan berstatus rahsia, khususnya rakan media, saya minta untuk berhati-hati, jangan kita sebarkan. Kalau sesuatu dokumen itu terperingkat, maka Akta Rahsia Rasmi terpakai,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas merasmikan IPRM AI Festival 2025, Global PR Al Strategic Communication Insights, YOU & Al: Meet @ Bangsar! di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, tindakan hanya akan diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan aduan orang ramai

“MCMC boleh minta (platform turunkan kandungan) sekiranya ada aduan, tapi akhirnya yang menurunkan adalah pihak platform itu sendiri. Sekiranya platform itu berasakan ia satu kesalahan, maka mereka sendiri yang menurunkannya.

“Setakat ini, MCMC belum memberi sebarang kemas kini berhubung isu terbabit,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment