“Siapa kamu mahu menafikan titah diraja”

SEPANG 13 Julai – Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh membidas Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang membantah gesaan agar bekas Perdana Menteri Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Akmal mengingatkan Lip Eng bahawa arahan itu adalah titah diraja yang dikeluarkan ketika Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Kepada Lim, siapa kamu mahu menafikan titah Yang di-Pertuan Agong?” soalnya di Facebook.

Akmal membangkitkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Agong untuk memberi pengampunan, menunda hukuman dan meringankan hukuman serta Perkara 42(2), berhubung kuasa Agong untuk meremit, menggantung atau meringankan hukuman yang telah dijatuhkan mahkamah.

“Inilah jadinya jika nak jadi pemimpin malah diangkat menjadi ahli Parlimen, tetapi tidak faham Perlembagaan atau sengaja buat-buat tidak faham,” kata Akmal lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta Ahli Parlimen Kepong itu supaya faham Perlembagaan Persekutuan mengenai bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Baca dan faham Perlembagaan Persekutuan! Jika itu yang dikehendaki oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, siapa kamu yang hendak mempertikaikannya?

“Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja, atau Yang di-Pertua Negeri untuk memberikan pengampunan, menangguhkan hukuman, atau meringankan hukuman.

“Baca, faham dan hormati Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu,” tulis Asyraf di Facebooknya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan untuk kesalahan rasuah dalam kes SRC International.

Tahun lalu, pada hari terakhir Sultan Abdullah sebagai Agong, baginda dilaporkan telah mengeluarkan satu titah tambahan yang membenarkan Najib menjalani tahanan di rumah.

Ia selepas keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan tempoh hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Titah tersebut menjadi subjek pertikaian undang-undang berpanjangan selepas Najib memfailkan permohonan di mahkamah untuk mendesak kerajaan melaksanakan arahan tersebut.

Bagaimanapun pada Rabu lalu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dilaporkan berkata bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mempertikai kewujudan titah adendum tersebut, namun mempertikai cara Najib mengemukakan bukti baru itu di mahkamah.

Susulan itu, UMNO sekali lagi meminta kerajaan supaya melaksanakan tahanan rumah terhadap Najib.

Semalam, Lip Eng berkata semua sabitan jenayah perlu dihormati dan dilaksanakan tanpa pilih kasih serta mendakwa permintaan UMNO bukan sahaja mencalar prinsip keadilan, bahkan mengundang tanggapan bahawa wujud layanan khas untuk tokoh politik berpengaruh.

Menurut ahli Parlimen DAP itu, permintaan UMNO bukan sahaja mencalar prinsip keadilan, bahkan mengundang tanggapan bahawa wujud layanan khas untuk tokoh politik berpengaruh.

“Malaysia tidak boleh menjadi negara dua darjat — satu undang-undang untuk golongan elit, satu lagi untuk rakyat. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan dengan saksama, berintegriti dan konsisten terhadap semua, tanpa pengecualian,” katanya.

Beliau mempersoalkan adakah undang-undang hanya tegas terhadap mereka yang tiada jawatan atau pengaruh.

“Jika individu yang dikaitkan dengan skandal kewangan terbesar negara diberi keistimewaan seperti ini, apakah isyarat yang disampaikan kepada penjawat awam, pemimpin lain, dan rakyat biasa?” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment