AYER KEROH 7 Julai – Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar mahu laporan segera dibentangkan berhubung pembongkaran sindiket penjualan sijil cuti sakit palsu susulan tiga lelaki termasuk seorang pesakit jantung ditahan semalam .
Katanya laporan itu akan membolehkan siasatan dalaman pihaknya dibuat untuk mengenal pasti pembabitan penjawat awam dalam sindiket terbabit.
“(Kes) Itu sedang dijalankan dan laporan akan diberikan kepada saya dalam masa segera. Saya belum tengok laporan, selepas saya tengok laporan, nanti baru saya tahulah dia punya maklumat lengkap,” katanya kepada media.
Beliau ditemui selepas menghadiri perasmian program Jelajah Taat Setia MADANI peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini yang dirasmikan Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh.
Semalam, media melaporkan tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit kegiatan menghasilkan dan menjual sijil cuti sakit palsu.
Kegiatan mereka terbongkar selepas siasatan dalaman dijalankan terhadap seorang anggota polis yang kerap cuti sakit.
Hasil maklumat, polis menyerbu sebuah premis di Taman Songket Indah, Kuala Muda, Kedah kira-kira pukul 4.30 pagi pada 26 Jun lalu.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia lewat 40 an ditahan, dengan kira-kira 20 keping sijil cuti sakit palsu berserta pelbagai kelengkapan berkait kegiatan itu seperti tablet, komputer riba, mesin pencetak, cop nama doktor dirampas.
Sementara itu, Shamsul Azri berkata, Melaka adalah negeri ketiga selepas Negeri Sembilan dan Sabah dalam siri Jelajah Taat Setia Madani Penjawat Awam dan akan diteruskan ke negeri lain.
Katanya, ia bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam serta menanam dan memperkukuh nilai taat setia kepada pemimpin, kerajaan dan negara dalam kalangan penjawat awam.
“Penjawat awam perlu memiliki nilai taat setia yang tinggi, kerana kejayaan dasar kerajaan sangat bergantung kepada iltizam mereka dalam melaksanakan amanah rakyat.
“Justeru, agenda Reformasi Perkhidmatan Awam hanya dapat dicapai jika nilai kenegaraan terus dijadikan teras dalam perkhidmatan,” katanya.
