Pertimbang rayuan eMadani

PONTIAN 8 Dis. –  Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan rayuan bagi mereka yang layak memohon kredit e-dompet eMadani tetapi tuntutan mereka tidak berjaya disebabkan tidak memenuhi kelayakan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Ahmad Maslan berkata, pengumuman mengenai rayuan eMadani akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata rayuan eMadani juga akan mengutamakan kelompok penerima yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Tujuan eMadani adalah untuk memperkembangkan kaedah e-dompet bagi ekonomi digital diamalkan. Selain membantu rakyat, ia juga membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana.

“Pada Rabu lepas, Kementerian Kewangan adakan masyuarat berhubung eMadani yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut dihadiri saya dan Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican.

“Kita akan buat pengumuman seterusnya mengenai rayuan ini dalam sedikit masa lagi,” katanya selepas melawat tapak cadangan Kolej Komuniti Pontian di Benut di sini, hari ini.

Ahmad berkata kementeriannya mendengar keluhan sebahagian rakyat yang mendakwa eMadani sukar dimohon.

Katanya, perbandingan data juga akan dilakukan antara jumlah penerima STR dan eMadani bagi memperbaiki kelompangan permohonan berkenaan.

“Dalam senarai STR terdapat seramai 8.7 juta penerima. Ada penerima STR ini yang tidak dapat memohon eMadani. Mereka adalah kumpulan utama yang akan kita pertimbang rayuan.

“Ada di antara yang menerima eMadani ini tidak menerima STR. Bagaimanapun kita akan utamakan mereka yang dapat STR untuk turut sama menerima eMadani.

“Sebenarnya eMadani amat mengujakan kerana tempoh eMadani ialah dua bulan tetapi dalam tempoh beberapa hari ramai rakyat telah memperolehinya.

“Ini perkara baru, menunjukkan bagaimana rakyat memerlukan dan ramai yang sudah memiliki empat aplikasi tersebut. Permohonan menerusi aplikasi Touch’nGo adalah paling tinggi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment