2.8 % daripada 36,428 pelajar ada tanda kemurungan

SHAH ALAM 7 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini diberitahu, sejumlah 1,020 atau 2.8 peratus daripada 36,428 pelajar sekolah menengah di negeri ini dikesan mempunyai tanda-tanda awal kemurungan kategori berisiko tinggi.

Perangkaan itu hasil Analisis Data Saringan Minda Sihat Murid Sesi 2024/2025 Negeri Selangor yang menjalankan saringan menggunakan instrumen Patient Health Questionnaire (PHQ) ke atas 36,428 pelajar itu.

Exco Kesihatan Awam negeri, Jamaliah Jamaluddin, ketika menjawab soalan Azmizan Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) bagaimanapun berkata, tingkah laku psikososial negatif dalam kalangan murid masih dalam keadaan terkawal.

“Intervensi berfokus dan aktif dijalankan oleh guru bimbingan dan kaunseling kepada murid bagi kategori krisis dan khusus. Program intervensi dilaksanakan dan diperluas secara menyeluruh ke sekolah rendah, khususnya melibatkan murid Tahun 5 dan Tahun 6.

Ia bertujuan memupuk kesedaran awal mengenai kepentingan kesihatan mental serta membina daya tahan diri dalam kalangan murid,” katanya.

Katanya, fokus intervensi adalah kepada pembangunan emosi dan tingkah laku, aktiviti pencegahan awal, latihan pemerkasaan guru bimbingan dan kaunseling sekolah rendah melalui bengkel kemahiran intervensi minda sihat.

Antara intervensi umum dan amalan gaya hidup sihat yang dijalankan adalah sesi bimbingan, teknik relaksasi, latihan pernafasan, senaman dan urutan bahu serta leher.

Selain itu, terdapat juga intervensi khusus, antaranya sesi kaunseling, kenali emosi, kemahiran gaya daya tindak, tangani stress, teknik pernafasan, mindfulness, kawal marah, penyelesaian masalah, berfikiran positif dan komunikasi berkesan.

Katanya , langkah ini diambil sebagai usaha pencegahan awal dan memperkukuhkan kesejahteraan mental murid dari peringkat asas bermula di sekolah rendah.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor juga sentiasa bersedia dan memberi keutamaan kepada isu berkaitan kesejahteraan emosi dan pelaksanaan program dan intervensi, khususnya kepada murid.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment