PUTRAJAYA 13 Dis. – Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap semua wakil Barisan Nasional (BN) dapat mewujudkan kolaborasi yang efektif dalam kalangan anggota Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi BN itu berkata, kolaborasi efektif, kesefahaman yang jitu dan kerjasama baik antara wakil BN dan ahli Kabinet lain penting dalam usaha memperjelaskan dasar serta polisi demi mencapai matlamat pembangunan negara.
“Awal pagi tadi sebelum bermulanya mesyuarat Kabinet, saya dapat meluangkan masa bersama-sama dengan rakan-rakan BN yang ditaklifkan amanah sebagai Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya melalui Facebook.
Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berharap semua ahli Kabinet BN dapat memainkan peranan sewajarnya memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan dan memperkasakan agenda Malaysia Madani.
“Laksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan bersama kita menjaga imej parti kerana kitalah yang menjadi representasi untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam rombakan Kabinet semalam, Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut kekal dengan portfolio sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan, bertukar portfolio daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Luar menggantikan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Dr Zambry Abd Kadir yang kini dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.
Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin, yang kekal dalam Kabinet, bertukar portfolio ke Kementerian Pertahanan yang dikosongkan Mohamad.
Rombakan juga menyaksikan Naib Presiden UMNO Johari Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Azalina Othman Said kekal dengan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
Turut berada dalam barisan Kabinet baharu itu ialah Ketua Wanita UMNO, Dr Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
