VLADIVOSTOK – Timbalan Panglima Tentera Laut Rusia, Mejar Jeneral Mikhail Gudkov terkorban ketika menjalankan misi tempur di Wilayah Kursk.
Gabenor Wilayah Primorye, Oleg Kozhemyako dalam satu hantaran di Telegram, turut memaklumkan, rakan rapat Gudkov, Nariman Shikhaliyev juga terbunuh.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan Mikhail Gudkov, Nariman Shikhaliyev, serta semua pejuang lain yang terkorban di Wilayah Kursk.
Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan bahawa Gudkov meninggal dunia pada 2 Julai di kawasan sempadan ketika menjalankan operasi tempur.
Kozhemyako berkata, walaupun memegang jawatan tertinggi dalam komando, Gudkov sering melawat barisan hadapan unit infantri laut.
Gudkov, 42, pernah mengetuai Briged Infantri Laut Ke-155 Armada Pasifik sejak permulaan operasi ketenteraan khas pada 24 Februari 2022.
Pada Mac 2025, beliau dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut Rusia.
Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan pelantikan itu semasa pertemuan bersama kelasi kapal selam berkuasa nuklear Arkhangelsk.
Gudkov bertanggungjawab ke atas keseluruhan pasukan infantri laut, peluru berpandu dan artileri pantai Tentera Laut Rusia.