Takungan air punca aerotrain tergendala

SEPANG 4 Julai – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengesahkan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dihentikan sementara pagi ini susulan takungan air di terowong laluan tren akibat hujan lebat.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.00 pagi apabila satu daripada pam saliran di terowong itu mengalami kerosakan teknikal, sekali gus menyebabkan air bertakung tidak dapat disalirkan secara automatik.

MAHB dalam kenyataan memaklumkan sebagai langkah keselamatan, operasi tren digantung sehingga kerja pembersihan air dilakukan secara manual dan laluan disahkan selamat.

Dalam tempoh itu, perkhidmatan pengangkutan ke Terminal Satelit tidak terjejas apabila penumpang terus dibawa menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.

Perkhidmatan kemudiannya disambung semula sepenuhnya pada pukul 12.15 tengah hari selepas mendapat pengesahan daripada pasukan teknikal dan keselamatan.

Operasi Aerotrain di KLIA disambung semula mulai 1 Julai lalu selepas 28 bulan tertangguh melalui proses naik taraf bernilai RM456 juta.

Malaysia Airports menjelaskan sistem saliran terowong itu dilengkapi dengan pam yang direka untuk mengendalikan air semasa cuaca buruk.

“Kami komited untuk memastikan pengalaman perjalanan di KLIA kekal selamat, lancar dan boleh dipercayai. Pasukan teknikal kami terus memantau sistem ini dengan rapi sepanjang fasa awal operasinya,” kata MAHB.

MAHB turut merakamkan penghargaan kepada semua penumpang di atas kesabaran dan kerjasama sepanjang gangguan perkhidmatan berlaku.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment