Israel perluas operasi di Gaza

GAZA – Tentera Israel mengumumkan akan memperluaskan operasi ketenteraan di Gaza, dengan penduduk melaporkan berlaku peningkatan tembakan dan pengeboman menjelang lawatan Benjamin Netanyahu, ke Washington.

Operasi yang semakin dipertingkatkan itu berlaku selepas desakan yang semakin memuncak untuk gencatan senjata, termasuk daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Trump bakal bertemu Perdana Menteri Israel, Netanyahu minggu depan untuk menggesa Israel mencapai perjanjian baharu bagi menghentikan perang dan membawa pulang tebusan yang masih ditahan Hamas di Gaza.

Bagaimanapun, kempen Israel untuk terus menghancurkan pejuang Hamas diteruskan tanpa henti, dengan agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh akibat serangan Israel semalam.

Sebagai tindak balas kepada laporan serangan maut di utara dan selatan wilayah itu, tentera Israel memberi alasan mereka sedang melakukan operasi untuk melumpuhkan keupayaan ketenteraan Hamas.

Dalam kenyataan berasingan semalam, tentera berkata sejak beberapa hari lalu, mereka memperluaskan operasi ke kawasan tambahan di Semenanjung Gaza, membunuh puluhan pejuang dan memusnahkan ratusan infrastruktur pengganas di atas dan bawah tanah.

Pertubuhan Palang Merah pula memberi amaran hanya beberapa kemudahan perubatan di Gaza yang masih berfungsi dan kini sudah terlalu sesak dengan hampir semua hospital awam ditutup atau lumpuh akibat perang dan sekatan bekalan.

Dalam kenyataannya, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) bimbang dengan permusuhan yang semakin sengit di Bandar Gaza dan Jabaliya.

“Pertempuran dilaporkan menyebabkan puluhan kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam dalam tempoh 36 jam lalu,” kata ICRC.

Perkhidmatan pertahanan awam Gaza berkata seramai 16 orang terbunuh berhampiran tapak agihan bantuan di Gaza tengah dan selatan, semalam manakala 10 lagi mangsa terbunuh dalam operasi Israel yang lain.

Isnin lalu, sekumpulan 169 pertubuhan bantuan menggesa supaya skim agihan bantuan baharu tajaan AS dan Israel menerusi Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) ditamatkan, atas dakwaan ia menyebabkan kematian orang awam.

Related posts

Leave a Comment