GAZA – Pihak berkuasa Gaza menggesa siasatan antarabangsa selepas pil opioid jenis oxycodone ditemui dalam bungkusan tepung diagihkan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Menurut kenyataan pejabat media kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya empat penduduk melaporkan menemui pil berkenaan dalam bungkusan bantuan makanan.
Beberapa saksi mendakwa bahan narkotik itu mungkin telah dihancurkan atau dicampur terus ke dalam tepung yang menimbulkan kebimbangan serius kesihatan dan dakwaan ia digunakan untuk melemahkan masyarakat.
GHF turut dituduh cuba ‘meracun’ penduduk Gaza dan dikecam kerana didakwa terbabit dalam penyeludupan bahan terlarang serta mengganggu agihan bantuan kemanusiaan.
Oxycodone adalah ubat penahan sakit kuat yang biasanya digunakan untuk pesakit kanser, namun ia menyebabkan ketagihan tinggi dan menyebabkan kesan sampingan serius termasuk halusinasi dan masalah pernafasan.
Seorang ahli farmasi tempatan, Omar Hamad, menyifatkan penemuan ini sebagai ‘bentuk paling keji bagi pembunuhan beramai-ramai’.
Seorang lagi doktor di Gaza, Dr Khalil Mazen Abu Nada, menyatakan bahawa dadah itu digunakan sebagai ‘alat untuk menghancurkan kesedaran masyarakat kami’.
Pihak berkuasa Gaza menuduh Israel menyalahgunakan sekatan dan operasi bantuan untuk menyeludup bahan terlarang ke dalam wilayah yang terkepung, dan menyifatkan pusat bantuan GHF sebagai ‘perangkap maut’.
Mereka turut menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan hak asasi manusia segera menyiasat perkara itu.
GHF sebelum ini dikritik oleh lebih 15 pertubuhan hak asasi dan undang-undang kerana didakwa menyumbang kepada pemindahan paksa penduduk Palestin serta mengganggu operasi bantuan kemanusiaan antarabangsa.