GENEVA – Walaupun sudah menjalankan siasatan selama empat tahun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu, permulaan penularan Covid-19 masih belum dirungkai dan mungkin menjadi asas utama bagi mengekang wabak itu.
Pertubuhan itu berkata pihaknya belum mencapai kesimpulan akibat kekurangan maklumat penting.
WHO menganggarkan bencana global itu meragut kira-kira 20 juta nyawa, di samping melumpuhkan ekonomi, sistem kesihatan, dan menggoncang kehidupan manusia di seluruh dunia.
Kes pertama dikesan di Wuhan, China pada akhir 2019 dan memahami dari mana datangnya virus SARS-CoV-2 adalah kunci dalam usaha mencegah pandemik itu di masa depan.
Namun, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menegaskan bahawa tanpa data lanjut, asal-usul COVID-19 dan bagaimana ia mula tersebar kekal sebagai persoalan yang belum terjawab.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, buat masa ini, semua hipotesis mesti kekal terbuka, termasuk penularan zoonotik dan kebocoran makmal.
Laporan awal WHO-China pada Mac 2021 menyimpulkan bahawa virus itu kemungkinan besar berpindah dari kelawar kepada manusia melalui haiwan perantara.
Ia menilai kebocoran dari makmal virologi di Wuhan yang terkenal dengan penyelidikan coronavirus dan menyifatkannya sebagai ‘amat tidak mungkin’.
Namun, siasatan itu dikritik hebat kerana kurang ketelusan, akses terhad, dan kegagalan menilai teori kebocoran makmal secara serius.
Dr Tedros kemudian melancarkan siasatan baharu dengan menubuhkan Scientific Advisory Group for the Origins of Novel Pathogens (SAGO), terdiri daripada 27 pakar antarabangsa, pada Julai 2021.
Laporan setebal 78 muka surat itu kemudian diterbitkan semalam yang menyatakan bahawa bukti sedia ada lebih memihak kepada teori penularan daripada haiwan sama ada secara langsung dari kelawar, atau melalui haiwan perantara.
Bagaimanapun laporan itu tidak dapat mengesahkan dengan pasti di mana dan bila kejadian itu berlaku, atau sama ada pasar basah Wuhan adalah lokasi pertama virus itu menjangkiti manusia.
Pasar itu menjadi lokasi pengukuhan penularan jangkitan dalam kalangan manusia, yang membawa kepada penularan meluas secara global.
Dr Tedros berkata, banyak yang dipelajari mengenai Covid-19 dalam lima tahun kebelakangan ini, namun, masih ada satu persoalan penting yang belum dijawab iaitu bagaimana pandemik ini bermula.
Nnnn