PUTRAJAYA 26 Jun – Selepas mendapat bantahan pelbagai pihak, mesyuarat Jemaah Menteri semalam memutuskan buah epal dan oren yang diimport dikecualikan daripada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, masih ada orang mengeluh dengan ada yang berkata orang kampung dan orang miskin hendak juga makan epal
“Dia kata ini orang dulu kata ‘an apple a day keep the doctor away’ tak betul itu, (ia) ‘a banana’ sebenarnya, sebab pisang potasium tinggi.
“Jadi, semalam kita (putuskan) beri kelonggaran import buah-buahan memang ada sedikit cukai tetapi dikecualikan epal dan oren,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota Madani di Presint 19, di sini, hari ini.
Anwar berkata, nilai ambang SST bagi buah-buahan berkenaan juga dinaikkan dari RM500,000 kepada RM1 juta.
“Kemudian katanya threshold (nilai ambang) untuk peniaga kecil terlalu rendah, (jadi) kita naikkan (kepada) RM1 juta kerana kita nak rakyat mesti sokong langkah ini,” katanya sambil menyatakan, perincian mengenai perkara itu diumumkan kemudian.
Sebelum ini banyak pihak tidak bersetuju dengan langkah kerajaan mengenakan SST ke atas buah-buahan import.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Ameer Ali Mydin, menganggap langkah kerajaan Itu “tidak masuk akal.” kerana ada antara buah-buahan import itu turut digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.
Menurut Ameer, buah-buahan seperti epal dan oren – malah pisang – sering dikaitkan dengan amalan pemakanan yang sihat malahan ketika menziarahi seseorang yang uzur di hospital, buah-buahan itu menjadi buah tangan.
Katanya walaupun hujah mendakwa buah-buahan seperti pisang turut dihasilkan di dalam negara, tetapi, pengeluaran semasa di Malaysia masih tidak mencukupi sehingga ia perlu diimport.
