KUALA LUMPUR 20 Jun – Bukan merajuk, sebaliknya ‘isyarat halus’ melalui pemilihan mendorong Rafizi Ramli mengekalkan pendiriannya untuk meletak jawatan dalam Kabinet sebaik berakhir pemilihan PKR pada akhir bulan lalu.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, jika beliau memilih kekal sebagai Menteri Ekonomi, akhirnya beliau akan menjadi ‘lame duck minister’ selepas kehilangan mandat (kalah pemilihan) parti.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri hilang keyakinan kepada beliau sebagai orang nombor dua parti dan Menteri Ekonomi apabila merestui pertandingan pada pemilihan lalu.
“Apabila Nurul Izzah (Anwar) bertanding, ia mendapat restu presiden dan perdana menteri. Bila (sudah ada) restu presiden itu, isyarat jelas bahawa presiden yang juga Perdana Menteri sudah hilang keyakinan kepada saya dan sebagai Menteri Ekonomi.
“Bila sudah hilang kepercayaan daripada Perdana Menteri dan mandat daripada parti (kekalahan dalam pemilihan), akhirnya kalau saya memilih kekal, saya akan jadi ‘lame duck minister’.
Menteri yang sudah hilang keyakinan dari perdana menteri dan (jawatan) menteri ini, kalau saya nak buat kerja, dia akan heret kementerian saya sekali,” katanya.
Rafizi yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 27 Mei dan berkuatkuasa Selasa lalu berkata demikian dalam rancangan Live Podcast (Yang Berhenti Menteri) yang disiarkan menerusi akaun Facebook beliau malam tadi.
Pada pemilihan lalu, Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar.
Menjawab dakwaan kononnya beliau merajuk, Rafizi menjelaskan, alasan itu direka oleh pihak tertentu untuk menyerang peribadinya, selepas tiada alasan lain yang dilihat lebih wajar.
“(Dakwaan) merajuk kepada saya ini pelik juga. Merajuk kalau tengok kepada makna, iaitu kalau tak dapat sesuatu. Kes saya lain, saya memang menteri dan saya tak mahu sesuatu.
“Saya tak mahu menteri itu, dia tak timbul soal merajuk kerana akhirnya dia kembali soal prinsip. Merajuk ini, letak jawatan ia mesti bersandar kepada isu lebih besar.
“Kita mahukan pimpinan negara yang ada dalam Kabinet itu mesti bebas menyatakan pandangan. (Kononnya) bila pujuk saya akan balik. Balik itu, saya kekal dalam kerajaan, secara tersiratnya bersyarat, tutup mulut diam-diam, sebab kamu menteri yang tak ada mandat,” katanya.
Menyentuh prinsip politiknya, Rafizi berkata, kuasa bukan satu-satu jalan yang menjamin survival dan kedudukan dalam politik sebaliknya, ia mesti berakar kepada penerimaan rakyat selain apa yang diusahakan mesti memberi manfaat dan mensejahterakan masyarakat.
Nnnn
