DNAA Najib: Tidak boleh rayu, dakwa semula jika mahu

KUALA LUMPUR 20 Jun – Tidak boleh merayu, sebaliknya pihak pendakwaan boleh mendakwa semula  Najib Razak jika tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri itu daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata, Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas bersetuju dengan hujahan beliau yang berpendapat kes itu sudah tertangguh terlalu lama.

“Jelas dalam kes ini pihak pendakwaan tidak bersedia (dengan perbicaraan) dan hakim bersetuju serta memutuskan untuk membenarkan permohonan DNAA kami,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Muniandy hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan Najib, 72, supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilepas tanpa dibebaskan.

Dalam hujahannya, Muhammad Shafee memohon Najib dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan itu dan ini keputusan terbaik untuk anak guamnya buat masa ini, dengan mengambil kira faktor garis masa yang tidak pasti bila perbicaraan kes itu akan bermula.

Beliau berkata, ini kerana pertuduhan terhadap Najib dibuat pada 2019 dan mengambil masa enam tahun, manakala representasi pula dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi itu, Muhammad Shafee berkata, pihaknya memohon Pejabat Peguam Negara menggunakan budi bicara mereka untuk tidak meneruskan kes ini.

Terdahulu Muniandy, membuat keputusan membenarkan permohonan Najib minggu lalu untuk mendapatkan DNAA selepas mendapati tempoh masa yang tidak menentu dan tidak pasti yang menyebabkan bekas perdana menteri itu terpaksa berdepan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian.

Muniandy berkata, ia menyebabkan penantian panjang untuk perbicaraan yang menjadi beban berlarutan kepada tertuduh, sekali gus menafikan hak beliau mendapatkan penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya.

Beliau berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas menimbang faktor terdapat kelewatan terlalu lama dalam memulakan perbicaraan bagi kesalahan pengubahan wang haram terhadap Najib dan pelbagai penangguhan diberikan kepada pendakwaan bagi membolehkan mereka bersedia serta hadir untuk mengendalikan kes in

Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan masih belum bersedia memulakan perbicaraan dalam masa terdekat dan masih gagal mendapatkan serta mengumpul dokumen diperlukan sebagai bukti terhadap tertuduh.

Beliau berkata, prinsip kedaulatan undang-undang yang terpakai adalah bagi mengelak situasi yang memudaratkan seperti itu.

“Proses mahkamah disalahgunakan dengan pelbagai penangguhan dan kes ini masih kekal dalam sistem kehakiman tanpa penyelesaian sejak 2019, sedangkan mahkamah sentiasa bersedia mendengar dan memutuskan kes secara menyeluruh,” katanya.

Muniandy berkata, mahkamah juga mengambil kira fakta semasa bahawa pertuduhan terhadap bekas Presiden UMNO itu merujuk kepada kesalahan yang didakwa dilakukan pada 2014.

“Kini sudah tahun 2025 dan kes ini masih belum dimulakan untuk perbicaraan.

Berdasarkan faktor itu, perintah yang paling sesuai ialah mahkamah ini melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya, supaya beliau tidak lagi dibebani pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Malah, tiada prejudis kepada pihak pendakwaan dengan perintah pelepasan ini, yang dalam istilah umum dikenali sebagai kerana pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini sekiranya mereka sudah bersedia pada masa akan datang.

“Sehingga tiba waktunya, tertuduh dilepaskan daripada semua pertuduhan terhadapnya dan perintah yang diberikan adalah DNAA,” katanya.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Bekas perdana menteri itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib yang kini ditahan di Penjara Kajang sudah disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram pada Julai 2020 membabitkan dana SRC bernilai RM42 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan), Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Related posts

Leave a Comment