Haji : Jadikan ‘pengalaman’ warga emas ditipu iktibar

KUALA LUMPUR 19 Jun – Kejadian yang menimpa 47 jemaah warga emas yang ditipu untuk menunaikan ibadah haji baru-baru ini perlu dijadikan iktibar terutama kepayahan yang dihadapi tetapi akhirnya hasrat tidak kesampaian dan wang pula lesap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah itu bagaimanapun bernasib baik tidak didenda berikutan rekod baik ditunjukan jemaah haji Malaysia sepanjang di Tanah Suci.

“Harap masyarakat lihat bagaimana sukarnya jemaah haji yang ditipu ini ketika di sana, mereka ditahan, perlu jalan jauh di padang pasir, tapi akhirnya tidak dapat pun buat haji, duit pula lesap.

“Jadikan apa yang berlaku ini sebagai pengajaran kepada kita semua supaya tidak melakukan perkara yang sama,” katanya selepas p Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP, Kasih Medik: Sumbangan Kewangan bagi Pengangkutan Pesakit Dialisis Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP, Batu Muda, di sini, hari ini.

Semua 47 jemaah warga emas dari negara ini yang menjadi mangsa penipuan pakej haji secara ‘DIY’ atau tanpa khidmat agensi itu hanya diberi amaran oleh kerajaan Arab Saudi.

Katanya, jumlah jemaah yang kecil berbanding negara lain juga menjadi antara faktor semua warga emas terbabit diberi peluang kedua.

“Daripada maklumat yang saya terima, semua jemaah haji warga emas ini tidak dikenakan denda seperti rakyat negara lain yang membayar sehingga ratusan ribu atau dihalang masuk dalam tempoh tertentu.

Kerajaan Arab Saudi memberi mereka ini peluang dan peringatan sahaja. Namun kita tidak mahu disebabkan sikap segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab ini, rekod baik kita selama ini, akibatnya akan diterima oleh jemaah lain,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang ahli agama.

Jemaah dilaporkan terpedaya dengan janji manis ejen mereka, mendakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.

Mangsa yang rata-ratanya berusia lingkungan 60-an dan 70-an, termasuk pasangan suami isteri, meluahkan kekecewaan selepas menyedari niat menunaikan haji bertukar pengalaman mencemaskan akibat janji palsu dan kegagalan pihak ejen menyediakan laluan sah.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berharap rakyat Malaysia tidak mengambil mudah dengan perkara itu kerana kerajaan Arab Saudi mungkin akan menarik kembali keistimewaan yang diberikan.

“Kita terima dua keistimewaan iaitu pertama adalah inisiatif `Laluan Makkah ` di mana rakyat di negara ini dapat menyelesaikan semua urusan imigresen hanya di KLIA dan bukannya di Jeddah.

“Kedua, kerajaan Arab Saudi memberi kad Nusuk kepada jemaah kita ketika mereka masih berada di Malaysia lagi.

“Ini adalah dua keistimewaan yang diberikan kepada jemaah Malaysia yang tak dinikmati oleh negara luar. Cuma kita bimbang kalau mereka ini buat perangai seperti itu, mungkin keistimewaan itu akan ditarik semula atau tindakan tegas akan diambil terhadap jemaah kita,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment