SEPANG 17 Jun – Perikatan Nasional (PN) mendakwa naratif kerajaan kononnya hanya mengenakan cukai ke atas golongan maha kaya dan mengagihkannya semula kepada golongan miskin seperti “Robin Hood” hanyalah sandiwara.
Malahan Pengerusinya Muhyiddin Yassin menganggap ia satu pembohongan dan mendakwa daripada 8,094 barangan yang dikecualikan daripada SST sebelum ini, hanya 1,813 barangan yang masih dikecualikan.
“Lebih 90 peratus barangan telah dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) Ini termasuk barangan keperluan asas seperti gula, garam, ikan, sayur dan buah-buahan.
“Buah epal, pisang dan oren pun dikenakan cukai. Ini bukan makanan orang kaya. Ia sejak zaman berzaman adalah makanan rakyat biasa,” kata Presiden Bersatu itu dalam satu kenyataan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan perluasan SST terhadap beberapa kategori buah-buahan import dan langkah itu mendapat reaksi rencam, termasuk wujudnya kebimbangan ia akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.
Rancangan itu diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 18 Oktober tahun lalu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan.
Dua hari lalu, Anwar mempertahankan langkah itu yang menurutnya bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, mencekik darah rakyat biasa menerusi cukai yang tidak masuk akal semata-mata untuk menambah hasil kerajaan sebanyak RM10 bilion tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.
“Ke manakah hasil RM10 bilion ini akan dibelanjakan? Kenapa kerajaan tidak menunggu pelaksanaan peluasan skop SST sehingga pembentangan Bajet 2026 supaya ahli-ahli parlimen boleh membahaskan rasional peluasan cukai ini?
Rakyat baru sahaja dibebankan dengan penghapusan subsidi diesel dan kenaikan kadar SST tahun lalu. Kini rakyat dibebankan lagi dengan cadangan kenaikan tarif elektrik dan peluasan skop SST. Selepas ini pelarasan subsidi RON95 pula,” katanya.
Menurut Muhyiddin walaupun dikatakan bersasar, kesan kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup akibat peluasan skop cukai dan penghapusan subsidi akan dirasai oleh seluruh rakyat.
Katanya, kesan bertimpa-timpa ini akan menyeksakan rakyat di peringkat bawah dan pertengahan yang merupakan 85 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.
“Ini adalah petanda bahawa kerajaan gagal mengurus ekonomi dengan baik. Apabila ekonomi tidak diurus dengan baik, hasil negara berkurang.
Dalam keadaan ini, kerajaan menjadi seperti lintah yang setiap hari menghisap darah rakyat dengan mengenakan pelbagai cukai selain menghapuskan subsidi. Ini bukanlah sebuah kerajaan yang cekap dan prihatin kepada rakyat,” katanya.
Beliau menggesa supaya peluasan skop SST dan cadangan kenaikan tarif elektrik dibatalkan serta mencari kaedah lain untuk mengatasi masalah fiskal negara, bukan dengan berterusan membebankan rakyat.
“Tugas kerajaan ialah meringankan beban rakyat, bukan menambah beban mereka. Jika perkara yang paling asas ini pun tidak dapat dilaksanakan, maka kerajaan Madani telah gagal dan wajar ditolak oleh rakyat,” tegasnya.
Mengenai kenaikan tarif elektrik, TNB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.04 bilion pada suku pertama tahun ini iaitu kenaikan sebanyak 53.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Katanya, sudah sampai masanya kerajaan mengkaji sama ada GST dengan kadar yang munasabah serta tidak membebankan rakyat dipertimbangkan semula selepas mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh.
“Saya percaya SST dalam bentuk yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini adalah lebih buruk kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara berbanding dasar GST yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.
Muhyiddin juga mengingatkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, tidak terkeliru bahawa GST yang dimaksudkan ialah Goods and Services Tax bukan General Services Tax.