TEHRAN – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan kempen Israel terhadap Iran yang masuk hari keempat akan ‘mengubah wajah Asia Barat’,
Dalam sidang akhbar pada petang Isnin, Netanyahu berkata, Israel sedang menghapuskan kepemimpinan keselamatan Iran ‘satu demi satu’.
“Kami sedang mengubah wajah Asia Barat dan ini boleh membawa kepada perubahan radikal di dalam Iran sendiri,” katanya.
Iran melancarkan beberapa gelombang peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel, dengan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada petang Isnin memberitahu serangan akan berterusan ‘tanpa gangguan sehingga subuh’.
Awal hari ini, penduduk Tel Aviv diberi amaran supaya mencari perlindungan, walaupun sistem penggera terbabit akan dimatikan tidak lama lagi.
Pertahanan udara di Tehran juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Israel semalam mengumumkan pihaknya telah membunuh komander tertinggi tentera Iran, Ali Shadmani, dalam satu serangan mengejut ke atas sebuah pusat komando berpenghuni di tengah Tehran.
Mangsa, yang turut mengetuai Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), disifatkan sebagai individu paling rapat dengan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas serangan ke atas bangunan rangkaian televisyen Iran, IRIB, yang memaksa seorang penyampai berita melarikan diri ketika siaran langsung dan mencetuskan ancaman serangan balas terhadap saluran berita Israel.
Selepas berdekad permusuhan dan perang proksi yang berpanjangan, Israel pada Jumaat melancarkan kempen udara mengejut terhadap sasaran di seluruh Iran, atas alasan mahu menghalang musuh ketatnya daripada memperoleh senjata atom, suatu cita-cita yang dinafikan Tehran.
Keganasan yang memuncak secara tiba-tiba itu mencetuskan kebimbangan konflik lebih meluas, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesa Iran kembali ke meja rundingan selepas serangan Israel menjejaskan rundingan nuklear yang sedang berjalan.
Walaupun Trump menegaskan bahawa Washington ‘tiada kaitan’ dengan kempen sekutunya, Menteri Luar Iran semalam berkata, pemimpin AS boleh menghentikan serangan dengan hanya satu panggilan telefon.
Menurut pihak berkuasa Iran, setakat ini, serangan Israel mengakibatkan sekurang-kurangnya 224 orang maut termasuk komander tertinggi tentera, saintis nuklear dan orang awam.
