BANGKOK – Thailand tidak akan menyertai prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja, kata Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra.
Beliau menegaskan Thailand tidak mengiktiraf bidang kuasa ICJ sebaliknya menekankan bahawa mekanisme dua hala kekal sebagai kaedah penyelesaian yang lebih diutamakan.
“Kerajaan yakin bahawa mekanisme dua hala, yang mencerminkan keikhlasan kedua-dua negara, adalah penyelesaian yang berkesan dan berpotensi,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Isnin.
Terdahulu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, mengesahkan negaranya secara rasmi mengemukakan kes itu kepada ICJ berkaitan pertikaian sempadan di empat kawasan: Ta Moan Thom, Ta Moan Toch, Ta Krabei, dan kawasan Mum Bei.
Dalam kenyataan di media sosial pada Isnin, Hun Manet berkata Duta Besar Kemboja ke Belanda, Kimsour Sovannary, telah menyerahkan surat pemfailan kes itu kepada Pendaftar ICJ, Philippe Gautier.
Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu meningkat susulan pertembungan maut pada 28 Mei di wilayah Ubon Ratchathani, timur laut Thailand, dan wilayah Preah Vihear di utara Kemboja, yang dilaporkan mengakibatkan kematian seorang sarjan Kemboja berusia 48 tahun.
Thailand dan Kemboja telah lama terbabit dalam pertikaian berhubung sempadan darat sepanjang 817 kilometer (km) yang belum dimuktamadkan.
Mengulas mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) yang baru selesai di Phnom Penh, Paetongtarn berkata perbincangan berlangsung secara positif, walaupun terdapat beberapa perbezaan pandangan antara kedua-dua pihak.
Menteri Kemboja yang bertanggungjawab terhadap Sekretariat Negara bagi Hal Ehwal Sempadan, Lam Chea berkata rujukan kepada ICJ akan memastikan penyelesaian yang adil dan tidak berpihak dalam kontroversi sempadan itu.
Lam Chea yang turut mempengerusikan mesyuarat JBC, memaklumkan bahawa keempat-empat kawasan pertikaian tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat JBC akan datang, September 2025.
Nnn